Kes hasutan Papagomo diteruskan, bicara pada 23 April
Bernama
08/04/2025

Tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 23 dan 30 April, dengan ramai saksi dijangka hadir. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa pihak pendakwaan akan meneruskan kes hasutan membabitkan blogger Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Pendakwaan akan meneruskan kes hasutan terhadap blogger Papagomo (Wan Muhammad Azri Wan Deris) setelah siasatan kes lengkap.
Tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 23 dan 30 April, dengan ramai saksi dijangka hadir.
Papagomo didakwa di bawah Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif Ahijman berkata pihaknya telah menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan kes tersebut, setelah mendapati siasatan kes berkenaan lengkap.
"Saya percaya untuk kes ini masih ada lagi ramai saksi dan kita telah tetapkan tarikh perbicaraan pada 23 dan 30 April ini," katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Norma Ismail.
Sebelum ini, Wan Muhammad Azri telah mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan menghasut yang dihadapinya.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang di sini pada 12 tengah hari, 29 April tahun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama itu, membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA