Lubang pembetungan lokasi tiga maut tiada sistem pengudaraaan - JKKP Perak
Bernama
08/04/2025

Pada Ahad lepas, tiga pekerja termasuk seorang warga Indonesia maut semasa melakukan kerja pembersihan dalam lubang pembetung di tapak pembinaan sebuah resort di Kampung Ibol, Sumpitan, Lenggong. - Gambar fail/Nor Azimah Che Norallasahlilaputera
IPOH: Lubang pembetungan lokasi tiga pekerja maut semasa melakukan kerja pembersihan di tapak pembinaan sebuah resort di Lenggong pada Ahad lepas, tidak mempunyai sistem pengudaraan bagi udara keluar masuk.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan mendapati, kerja konkrit untuk pembinaan lubang pembetungan bersaiz 4.04 meter(m) panjang x 5.20m lebar x 2.4m dalam itu dilakukan dua minggu lepas, telah menutup sepenuhnya manhole setelah siap.
Selain itu, siasatan juga mendapati tiada rekod bagi prosedur kerja selamat di ruang terkurung disediakan kepada pekerja, selain tapak pembinaan resort juga belum membuat pemberitahuan projek pembinaan (JKKP 12) kepada jabatan.
"Notis pemberhentian serta merta ke atas semua aktiviti kerja di lubang pembetungan dikeluarkan dan sitaan kawasan kerja telah dilakukan sehingga siasatan selesai.
"Surat arahan dikeluarkan bagi memastikan prosedur kerja selamat dan pentaksiran risiko bagi aktiviti di lubang pembetungan dijalankan dan melantik orang berkelayakan termasuk penguji gas bertauliah (AGT)," menurut JKKP Perak dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan JKKP Perak itu memaklumkan bahawa mereka akan menjalankan siasatan lanjut termasuk merakam percakapan saksi dan tindakan perundangan akan diambil, sekiranya berlaku pelanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang memperuntukkan hukuman maksimum RM500,000 terhadap majikan, jika sabit kesalahan.
"Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat analisa serta mengadakan kawalan risiko sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja," menurut kenyataan itu.
Pada Ahad lepas, tiga pekerja termasuk seorang warga Indonesia maut semasa melakukan kerja pembersihan dalam lubang pembetung di tapak pembinaan sebuah resort di Kampung Ibol, Sumpitan, Lenggong.
JKKP Perak memaklumkan mangsa pertama pengsan selepas membuka dan masuk ke lubang pembentungan sekitar 9.30 pagi, menyebabkan dua rakannya turun untuk membantu namun mereka juga tidak sedarkan diri.
Dua daripada mereka maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lenggong.
-- BERNAMA