Translate

28 March 2025

Lelaki tular dikejar polis, dipenjara dan denda enggan beri kerjasama kepada polis



Lelaki tular dikejar polis, dipenjara dan denda enggan beri kerjasama kepada polis

Bernama

27/03/2025


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang tular dalam kejadian dikejar kenderaan polis, dihukum penjara lapan bulan dan denda RM6,000 oleh dua Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah enggan memberi kerjasama dengan melarikan diri semasa pemeriksaan pihak polis dan memandu secara melulu, Ahad lepas.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan ke atas buruh Mohd Szami Nazari, 40, manakala Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM6,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu selama lima tahun, bermula hari ini.

Kedua-dua mahkamah itu turut memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkap pada 23 Mac.

Di hadapan Noorelynna Hanim, tertuduh didakwa dengan sengaja enggan memberikan kerjasama dengan cuba melarikan diri semasa Koperal Mohd Khairuddin Baharudin ingin membuat pemeriksaan di tepi Jalan Gerik Taman Rainbow, Sentul di sini pada 5.04 pagi, 23 Mac.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Di hadapan Khairunnisak, lelaki itu didakwa memandu secara melulu di Jalan Kuching menghala ke Kepong di sini antara 3.30 pagi hingga 4 pagi pada tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman dan Pegawai Pendakwa Insp Shazwan Hasifi Shahrun, manakala tertuduh diwakili peguam Charanpal Singh daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sebelum ini, tular satu rakaman video memaparkan kereta dinaiki suspek dipercayai telah terlanggar sebuah kenderaan lain menyebabkan pemandunya keluar dari kenderaan.

Menerusi rakaman video berdurasi 27 saat itu, dapat dilihat aliran trafik di laluan berkenaan agak sesak dengan kenderaan. Sejurus selepas itu, dua anggota polis menaiki sebuah kereta MPV polis tiba di lokasi kejadian dan dilihat cuba mengejar suspek yang berlari untuk meloloskan diri.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Kajang viewed 'Bekas guru rugi RM82,000 tawaran buka kedai TikTok' 9 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed '63ft Lamborghini Yacht Sinks Near Miami' 18 mins ago
A visitor from Ashburn viewed ''Jangan lepaskan ikan asing di parit, sungai' - Ja' 19 mins ago
A visitor from San jose viewed ''Jangan lepaskan ikan asing di parit, sungai' - Ja' 20 mins ago
A visitor from Petaling jaya viewed 'AMK umum sokong Nurul Izzah se' 1 hr ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Guna Datuk Seri palsu, laporan polis dibuat terhad' 2 hrs 5 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'PGA serbu kilang haram, sita pelbagai mesin bernil' 2 hrs 18 mins ago
A visitor from Boardman viewed 'Nov 18 ruling on Syed Saddiq's bid for judicial re' 2 hrs 52 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'WARNA RASA RAMADAN BUFFET 2025 BY ROYALE CHULAN KU' 3 hrs 33 mins ago
A visitor from Ipoh viewed 'Actor Zul Ariffin has claimed that a viral s*x vid' 5 hrs 21 mins ago