KDN terima 150,000 permohonan status warganegara
Bernama
April 5, 2023
KDN terima 150,000 permohonan status warganegara
Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media semasa menghadiri Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Iftar KDN Madani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat ini telah menerima sebanyak 150,000 permohonan untuk mendapatkan status kewarganegaraan termasuk kes kanak-kanak tanpa negara, kata Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, kementeriannya telah membuat keputusan sama ada diluluskan atau ditolak terhadap 5,700 permohonan sejak Januari lalu dengan menetapkan sasaran menyelesaikan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan pada tahun ini.
Menurutnya, antara faktor menyebabkan permohonan ditolak ialah pemohon tidak pernah tinggal di negara ini, tiada komitmen untuk tinggal di sini dan gagal memenuhi semua prasyarat keperluan dokumentasi lengkap.
"Maksudnya dalam pertimbangan permohonan isu kewarganegaraan ini, semua prasyarat keperluan dokumentasi digariskan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, bukan sebarang akta, jadi kami di KDN perlu mematuhi dengan semua syarat-syarat itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, malam ini.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata penggodam laman sesawang rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) masih belum dikenal pasti.
"Hanya muka hadapan laman sesawang sahaja (ditukar)... Keseluruhan kandungan laman sesawang tidak terusik, kandungan lain tidak terjejas," katanya.
Semalam, JIM mengesahkan bahawa laman sesawang rasmi agensi itu digodam oleh pihak menggelarkan dirinya sebagai 'CaptainSmok3r'.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata serangan siber itu berbentuk 'defacement' dan mengakibatkan muka hadapan laman sesawang JIM ditukar kepada paparan imej lain.
-- BERNAMA