Astro Awani
1 November 2020
1 November 2020
LANGKAWI: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pertemuannya dengan beberapa pemimpin politik beberapa hari lalu hanyalah sebagai perjumpaan biasa.
Menurut Dr Mahathir, agenda untuk mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan juga tidak pernah dibincangkan dalam pertemuan yang difahamkan berlangsung selama tiga hari berturut-turut itu.
Dr Mahathir dilapor mengadakan pertemuan dengan beberapa ahli politik termasuk Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.
Tambah Dr Mahathir, cadangan seperti itu sukar untuk diterjemahkan memandangkan ada dalam kalangan pemimpin tertentu yang pernah bekerjasama dengan beliau tidak bersetuju dengan idea tersebut.
"Ku Li (Tengku Razaleigh) dulu (berada) dalam Kabinet saya. Dia nak jumpa takkan saya kata tak boleh, tak suka (tengok) muka awak... (saya) tak bolehlah (buat) macam tu.
"Saya jumpa dengan menteri agama pasal saya kenal menteri agama dah lama dah. Dulu (beliau) jadi mufti wilayah, saya memang kenal dia.
"Dia datanglah nak tunjuk kepada saya buku-buku yang ditulis berkenaan dengan COVID-19.
"Mat Sabu ni datang selalu, dia jumpa saya nak bincang pasal politik sikit bolehlah. Tiada bincang (berkenaan kerajaan perpaduan).
"Kita tak boleh nak buat dengan dia (Mohamaad Sabu) pasal ada orang (tertentu) tak bagi (dan setuju dengan idea berkenaan)," katanya kepada media selepas Sesi Perjumpaan bersama wakil Parti Pejuang Tanah Air Parlimen Langkawi di sebuah hotel di Padang Matsirat, Langkawi pada Sabtu.
Terdahulu, menerusi akaun Facebook Kelab Penyokong Dr Mahathir iaitu "Kelab Che Det" telah memuat naik tiga keping gambar bekas perdana menteri itu bertemu dengan pemimpin berkenaan di kediamannya pada 26, 27 dan 28 Oktober 2020.
Dalam muat naik itu, pengendali akaun turut menyertakan kapsyen "Ketika negara diuji, Kerajaan Perpaduan adalah formula terbaik."
Tambah kapsyen itu lagi, parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang dan sebaliknya hanya kepentingan negara sahaja yang perlu diutamakan.
Source: Astro Awani
FOR MORE NEWS GO TO: