Translate

12 November 2020

Serbuan Dadah: Dua Lelaki, Remaja Perempuan Dan Ibu Muda Bawa Bayi Dua Bulan Ditahan

Ibu muda bersama bayi lelakinya yang ditahan oleh AADK dalam serbuan di sebuah rumah kosong petang semalam.
                   


Serbuan dadah: Dua lelaki, remaja perempuan dan ibu muda bawa bayi dua bulan ditahan

BERNAMA
12/11/2020 


BUKIT MERTAJAM, 12 Nov -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang menahan empat individu, termasuk seorang remaja perempuan dan seorang ibu muda bersama bayinya yang baru berumur dua bulan, dalam serbuan ke atas sebuah rumah di sini yang dijadikan sebagai tempat menagih dadah, semalam.

Pengarahnya Elmariah Chung berkata serbuan pada pukul 3.30 petang itu dilaksanakan hasil risikan dan intipan pihaknya sejak dua minggu lepas, dan semasa serbuan pihaknya menahan dua lelaki dan seorang ibu muda berumur 20 tahun bersama bayinya, serta seorang remaja berumur 16 tahun.

Beliau berkata ujian air kencing mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine, dan kini semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut, manakala bayi itu diserahkan kepada ahli keluarga wanita berkenaan.

"Berdasarkan siasatan, rumah itu dijadikan lokasi untuk mereka termasuk beberapa lagi penagih dadah melepaskan gian sejak Jun lepas, namun dalam serbuan semalam, hanya terdapat individu berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983 (Rawatan Dan Pemulihan) Pindaan 1998 yang boleh dihukum menjalani pemulihan AADK selama dua tahun atau pemulihan dalam komuniti bagi tempoh dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED