Penganggur dituduh ugut bunuh kakak menangis di mahkamah
Astro Awani
17 November 2020
KULIM: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kulim hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh terhadap kakak kandungnya, minggu lalu.
Nurul Habibah Abd Aziz, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Che Rohana Ismail.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan ugutan jenayah terhadap kakak kandung dan ahli keluarganya dengan tujuan hendak menyebabkan kematian di sebuah rumah di Taman Sri Limau Fasa 2 Lunas, Kulim pada jam 6 petang 11 November lalu.
Berikutan itu, tertuduh yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Akmal Abdul Ghani, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Datuk Kamal Pasha.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana bimbang dia akan menganggu ahli keluarganya.
Peguamnya kemudian membuat rayuan supaya dia dibenarkan ikat jamin sebelum ditolak majistret, menyebabkan tertuduh yang mempunyai tiga anak menangis teresak-esak.
Mahkamah menetapkan 24 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Source: Astro Awani
FOR MORE NEWS GO TO: