Translate

03 November 2020

Pelajar SPM Ketuai Kumpulan Curi Motosikal Ditahan (1 Video)

                   




Polis tumpaskan geng pelajar aktif curi motosikal

Pelajar SPM ketuai kumpulan curi motosikal ditahan
Astro Awani
3 November 2020


PADANG TERAP: Sepatutnya tahun ini pada usia 17 tahun, seseorang pelajar berada di rumah menelaah pelajaran bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Namun, bagi seorang pelajar tingkatan 5 di Padang Terap, Kedah, dia mempunyai sisi lain iaitu sebagai ketua kumpulan “Geng Bing Garage" yang bergiat aktif dalam kegiatan mencuri motosikal di daerah itu.

Difahamkan, aktiviti itu tetap dilakukan meskipun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagaimanapun, kegiatan kumpulan ini tumpas selepas pelajar itu bersama lapan pelajar lain berjaya ditahan polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, tangkapan pertama dilakukan pada Ahad lalu membabitkan lima remaja berusia 15 hingga 17 tahun pada jam 5 petang.

Susulan itu polis melakukan tangkapan kedua secara berasingan membabitkan dua remaja berusia 14 dan 15 tahun antara jam 6.30 petang dan 11.30 malam.

Tangkapan seterusnya membabitkan dua remaja lelaki masing-masing berusia 15 tahun secara berasingan pada Isnin iaitu pada jam 5 dan 10.30 malam.

“Mereka ini juga ada kumpulan WhatsApp sendiri seramai 13 orang. Mereka wujudkan kumpulan WhatsApp sesama mereka untuk membuat jenayah.

“Daripada 13 orang ahli kumpulan tersebut, sembilan telah berjaya kita tangkap dan empat lagi kita akan tangkap dalam masa terdekat.

“Kita telah kenal pasti, cuma mereka ini telah melarikan diri. Kita akan ambil tindakan dalam masa terdekat dan kemungkinan besar juga banyak lagi kes akan dapat diselesaikan dengan tangkapan kumpulan ini,” ujar Mulkiaman.

Kesemua mereka dipercayai masih bersekolah di dua buah sekolah di daerah ini dan kesemua remaja terbabit berusia antara 14 hingga 17 tahun itu dipercayai aktif dengan mewujudkan aplikasi kumpulan WhatsApp untuk merancang strategi.

Mulkiaman berkata, hasil tangkapan mereka, pihaknya berjaya menemui semula beberapa kerangka motosikal, enjin dan komponen motosikal yang sudah dileraikan di sekitar kawasan daerah itu.

Katanya, siasatan mendapati, modus operandi kumpulan itu dipercayai mencuri motosikal seterusnya dibawa ke rumah masing-masing, sebelum dibawa ke lokasi dalam hutan untuk meleraikan komponen motosikal berkenaan untuk mengelak dikesan.

Kesemua mereka mengaku komponen dan enjin yang dileraikan itu dijual dalam kalangan kenalan mereka di Kedah dan Pulau Pinang.

Mulkiaman berkata, dengan tertangkapnya suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes curi motosikal di daerah ini yang dilakukan sejak awal tahun ini.

Beliau menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan besar ahli kumpulan ini terdiri dalam kalangan mat rempit yang mahir untuk meleraikan motosikal yang dicuri.

Mulkiaman berkata, kesemua tangkapan masih dalam reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) dan ditahan di lokap Balai Polis Kuala Nerang untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Source: Astro Awani

FOR MORE NEWS GO TO:


            

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED