Translate

09 November 2020

Keputusan Hadkan 80 Ahli Parlimen Tak Bercanggah Perlembagaan, Dibuat Atas Nasihat KKM - Speaker

                      

Keputusan hadkan 80 ahli Parlimen tak bercanggah perlembagaan, dibuat atas nasihat KKM - Speaker

BERNAMA
09/11/2020 



KUALA LUMPUR, 9 Nov -- Peraturan mengehadkan kehadiran 80 Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat pada satu-satu masa masih dibangkitkan pada persidangan hari ini dengan Yang Dipertua dewan Datuk Azhar Azizan Harun sekali lagi menegaskan keputusan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan mendapat persetujuan ketua-ketua Whip parti.

Beliau berkata langkah yang dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 itu bukan untuk mengekang Ahli Parlimen daripada berbahas.

“Di manakah terdapatnya dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa setiap masa saya perlu mendengar 222 orang Ahli Parlimen dalam dewan? (kerana) Korumnya 26 orang (mengikut) Peraturan Mesyuarat dan kita ada 80 orang. Bukan saya nak mengekang daripada berdebat (kerana) semua yang dipilih Parti Whip boleh berdebat, dipersilakan.

“(lagipun) Setiap hari persidangan, bukannya 222 ada dalam dewan pun. Yang datang dalam 120 orang, dan bukannya mereka ada dalam dewan dari 10 pagi sampai 5.30 petang. Selepas 2.30 petang, kadang-kadang nak ada korum pun tak cukup. Jadi bila kita buat konsensus 80 orang (Ahli Parlimen), tiba-tiba perkara ini jadi besar, kenapa?“ katanya sebelum sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 hari ini.

Azhar mengajak semua untuk membalas jasa dan budi baik serta titik peluh petugas barisan hadapan termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bertungkus-lumus setiap hari bagi mengawal penularan COVID-19.

Azhar menegaskan perkara itu bagi menjawab persoalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang mendakwa larangan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Rakyat atau wakil rakyat yang dipilih rakyat Malaysia masuk ke Dewan Rakyat adalah bertentangan dengan Artikel 96 dan 97 berkenaan Peruntukan Kewangan Bahagian 7 Perlembagaan Persekutuan.

“Peraturan menghadiri sidang Parlimen yang memperuntukan 80 orang sahaja pada waktu bahas bajet adalah bertentangan dengan peraturan undang-undang dan perlembagaan Persekutuan, saya mohon peraturan ini ditarik balik.

“Sekarang sidang membahas dan meluluskan belanjawan ini bukan sidang biasa, ertinya tidak boleh belanjawan diluluskan dengan keadaaan persidangan Parlimen yang tidak sah, kita tidak mahu kerajaan yang tidak sah meluluskan Rang Undang-undang Belanjawan yang tidak sah, kita kena kembali kepada peruntukan Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata Undang-undang Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang diguna pakai KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan Persekutuan bersama peraturan Parlimen yang dibuat speaker, menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen dan Ketua Whip dari semua parti tidak boleh mengatasi peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap Ahli Parlimen masuk ke Dewan Rakyat.

Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) yang bangun mencelah, bagaimanapun berkata: “Ini bukan diputuskan kita (tetapi) diputuskan oleh KKM. Kalau kita lawan (keputusan) KKM, tak apa, kita isytihar undi hari ini (yang) kita nak menentang (keputusan) KKM. Ini soal penyakit, yang melibatkan semua kita.”

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) ketika membahaskan Belanjawan 2021 turut menyentuh perkara itu pada awal perbahasan, dengan berkata apa yang bangkitkan Hassan bukan bermaksud untuk mempertikai keputusan KKM atau Dr Noor Hisham, dan menambah cara Azhar mengulas adalah kurang tepat.

“Isu yang diprihatinkan Ahli Parlimen juga berat, mereka mahu ruang seperti biasa, kelonggaran seperti biasa...jadi tidak bermakna apa yang diputuskan KKM muktamad sampai tidak boleh dibahaskan.

Menurut Anwar, semua peraturan yang ada kini telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pandangan dari KKM yang turut dipertikai oleh ramai pakar lain.

“...janganlah sampai dianggap satu pandangan dari MKN dan KKM muktamad sampai tidak boleh dibahaskan...kalau begitu tidak perlu ada Parlimen,” katanya.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED