Translate

06 November 2020

Belanjawan 2021: Peruntukan RM360 Juta Untuk Galak Penghasilan, Pembelian Produk Buatan Tempatan

                     

Belanjawan 2021: Peruntukan RM360 juta untuk galak penghasilan, pembelian produk buatan tempatan

BERNAMA
06/11/2020 


KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM360 juta dalam Belanjawan 2021 dalam usahanya untuk menggalakkan penghasilan dan pembelian produk buatan tempatan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini berkata bagi tujuan tersebut empat inisiatif akan dilaksanakan.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM25 juta bagi program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik serta program Beli Barangan Buatan Malaysia.

"Kerajaan juga memperuntukkan RM150 juta bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100,000 usahawan tempatan untuk beralih kepada khidmat digital di bawah Kempen eDagang PKS dan PKS Mikro," katanya.

Sementara itu, sebanyak RM150 juta turut diperuntukkan bagi inisiatif Shop Malaysia Online melalui usaha sama dengan platform e-dagang utama untuk menggalakkan perbelanjaan secara dalam talian yang akan turut memanfaatkan 500,000 usahawan tempatan termasuk pengusaha produk halal dan kraf tangan.

Zafrul berkata, selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM35 juta bagi mempromosi barangan dan perkhidmatan keluaran Malaysia di bawah Misi Perdagangan dan Pelaburan.

Empat langkah berkenaan terkandung di bawah Matlamat Kedua Belanjawan 2021 iaitu Kelangsungan Perniagaan.

Di bawah matlamat ini, kerajaan mengambil maklum mengenai persekitaran perniagaan kini telah berubah.

Justeru, di bawah matlamat kedua iaitu kelangsungan perniagaan, fokus kerajaan adalah untuk memacu pelaburan, memperkukuh sektor-sektor tumpuan dan memudah akses perniagaan.


Terdapat empat strategi di bawah Matlamat Kedua Kelangsungan Perniagaan; iaitu Memacu pelaburan; Memperkukuh Sektor-sektor Tumpuan; Mengutama Automasi dan Pendigitalan dan Memudah Akses Pembiayaan.

Belanjawan 2021 memperuntukkan sebanyak RM322.5 bilion bagi tahun hadapan dengan RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM69 bilion bagi perbelanjaan pembangunan serta RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19.

Belanjawan 2021 dirangka berdasarkan Tiga Matlamat Induk iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Perniagaan dan Ketahanan Ekonomi.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED