Misha Omar Tolak Duit, Tak Terima Hantaran Berjenama
- Details
- Published on Wednesday, 05 February 2014 10:18
Tiada apa yang lebih bermakna buat penyanyi Misha Omar, 32, selain bakal bergelar isteri kepada juruterbang Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Fiross Ezzwan Rosly, 32, pada Mei ini. Namun pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta ini meletakkan syarat kepada bakal suaminya itu - beliau tidak mahu menerima sebarang mas kahwin berupa duit mahupun barang hantaran berjenama.
"Pada majlis nikah nanti, kami akan berbalas lima dulang hantaran. Kalau ikut adat masyarakat Kelantan tiada wang hantaran tetapi hanya mas kahwin. Tapi saya telah meletakkan syarat, saya tidak mahu wang tunai sebaliknya sesuatu yang boleh dianggap sebagai tanda atau simbolik yang boleh dikenang sepanjang perkahwinan kami.
"Begitu juga dengan barangan hantaran, saya tak mahu barang berjenama. Bagi saya itu semua tidak penting, sebab lepas kahwin nanti semua itu saya boleh minta pada dia", kata Misha lantas memandang ke arah tunangnya, ketika ditemui pada majlis minum petang berama media, di restoran Delicious, One Utama, petang semalam.
Tambahnya lagi, majlis perkahwinan mereka juga akan berlangsung dalam suasana sederhana kerana mereka lebih mementingkan kehidupan alam rumah tangga berbanding mahu mengadakan majlis secara besar-besaran.
Selepas mengikat tali pertunangan selama dua tahun, Misha dan Fiross bakal diijabkabul dalam sebuah majlis yang akan berlangsun di Kota Baru Kelantan.
Hampir Putus Harapan
Dalam pada itu Misha meluahkan sehingga dia masih sukar menerima sepenuhnya berita pemergian bapa tercinta yan pulang ke Rahmatullah pada 30 November lalu. Bahkan dek kerana terlalu sedih, dia pernah hampir putus harapan lebih-lebih lagi mengenai hal perkahwinannya.
Namun dengan sokongan moral dari Fiross serta permintaan ibunya, Zainab Mat Nor, 65, yang ingin melihatnya berkahwin, dia gigihkan jua dirinya untuk melawan segala perasaan sedih tersebut.
"Selama tiga bulan lalu saya memencilkan diri, berselubung dan hanya duduk di rumah. Saya rasa satu perasaan yang sangat pelik sepanjang tempoh itu. Saya tak berani nak keluar. Awal tahun ni saya baru keluar bekerja.
"Tunang saya yang banyak memberikan kata-kata semangat dan sentiasa berada di sisi saya. Ibu saya lebih kuat berbanding saya. Dia jugalah yang memberi saya keyakinan untuk keluar bekerja.
"Pada awalnya, saya menolak cadangan ibu untuk berkahwin pada Mei ini. Tapi ibu kuat mendorong saya, katanya, ambil keberkatan sempena bulan Rejab", katanya sambil menahan sebak.
- mD