Translate

27 February 2014

Bront Palarae Sukar Jadi Kekasih Maya Karin

Bront Palarae Sukar Jadi Kekasih Maya Karin

Jika sebelum ini kaki wayang selalu menyaksikan lakonan aktor popular, Bront Palarae membawakan watak-watak serius seperti dalam filem ‘Bunohan’, ‘Psiko Pencuri Hati’, ‘Ombak Rindu’, ‘Jiwa Taiko’ dan banyak lagi, kini penggemar filem tempatan dan peminat aktor ini berpeluang untuk menyaksikan sisi romantik pelakon ini menerusi filem ‘Sejoli’ yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

Menerusi filem ‘Sejoli’ yang menggandingkan Bront bersama Maya Karin, Remy Ishak, Izara Aishah, Dira Abu Zahar dan Azad Jazmin, pemilik nama penuhnya Nasrul Suhaimin Saifuddin berpeluang meneroka sisi lain lakonan yang jarang ditonjolkan olehnya di layar lebar. Kali ini, Bront memegang peranan sebagai seorang lelaki romantik dan kelakar.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pengarah filem ini, Osman Ali dan pihak penerbit, Grand Brilliance dan Nuansa kerana memberikan kepercayaan buat saya untuk membawakan watak sebegini. Saya akui, setiap kali penampilan saya di layar perak, saya jarang-jarang membawakan watak sebegini. Sebaliknya, membawakan karakter serius,” ujar Bront ketika ditemui usai prebiu ‘Sejoli’ di Cathay Cineplex, Damansara baru-baru ini.

Umum tahu, Bront dan Maya mempunyai hubungan yang baik dan serasi sebagai sahabat kerana sebelum ini, mereka sering kali bekerjasama dalam beberapa buah filem seperti ‘1957 Hati Malaya’, ‘Ombak Rindu’, ‘Lagenda Budak Setan 2’, ‘Anak halal’ dan sebagainya. Untuk ‘Sejoli’,  mereka menjadi pasangan bercinta. Agak-agaknya sukar atau tidak Bront menghayati wataknya kali ini?
“Sedikit sukar sebenarnya. Sewaktu penggambaran sesebuah babak, masuk sahaja di pertengahan jalan, kami berdua tergelak. Kami ketawa kerana kami harus bercinta dalam filem. Apa pun, kami tetap memberikan yang terbaik dalam filem ini. Saya senang dan selesa bekerja dengan pengarah, barisan pelakon lain dan seluruh tenaga kerja filem ini. Saya mengharapkan agar filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan,” tutur Bront lagi.

Filem ‘Sejoli’ berkisarkan mengenai perjalanan Joe (Bront Palarae) ke Phuket setelah hancur hatinya akibat ditinggalkan Nita (Izara Aishah). Semasa hendak bertolak ke sana, Joe bertemu dengan Gina (Maya Karin) yang turut ke Phuket selepas ditinggalkan kekasihnya Hardy (Remy Ishak). Selepas berlaku beberapa insiden yang menyatukan mereka, mereka mendapat tahu bahawa bekas kekasih mereka, Nita dan Hardy sedang bercinta.

Mereka berpakat untuk membantu antara satu sama lain bagi melupakan bekas pasangan masing-masing, tapi dalam pada masa yang sama mereka masih gagal untuk melupakan bekas pasangan mereka. Apabila mereka mendapat tahu yang Nita akan berkahwin dengan Hardy, mereka bercadang untuk merosakkan perkahwinan tersebut sebagai jalan untuk mendapatkan semula bekas pasangan masing-masing.

Pelbagai taktik kotor dilakukan oleh Joe dan Gina dengan harapan hubungan Nita dan Hardy akan berakhir bersama bantuan sahabat baik mereka Lola (Dira Abu Zahar) dan Tompy (Azad Jazmin) sehingga tibanya hari pernikahan Nita dan Hardy. Pelbagai insiden yang berlaku dalam menjayakan misi mereka untuk mencantas cinta bekas pasangan masing-masing. Filem ini ditayangkan semenjak 20 Februari yang lalu di pawagam serata Malaysia.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED