- View PhotoHanez Suraya tiada niat jaja kisah kahwin
21 Feb – Aktres jelita Hanez Suraya menegaskan dia tidak berniat untuk menjaja kisah perkahwinannya, sebaliknya dia berterus-terang bagi mengelak daripada difitnah.
"Sebagai selebriti, saya tahu yang peminat sentiasa ingin tahu mengenai diri saya. Saya bukan nak sorok-sorok.
"Lagipun kalau saya sorok, nanti bila ada yang nampak saya keluar dengan dia, akan timbul pula cerita yang bukan-bukan. Jadi saya terbuka untuk berkongsi kepada semua," ujarnya seperti dipetik daripada laporan Malaysian Digest.
Namun Hanez tetap dengan pendiriannya untuk tidak mendedahkan identiti kekasihnya itu, tetapi membahasakan nama jejaka berkenaan sebagai Mr. R.
"Cukuplah saya berkongsi sekadar yang sepatutnya buat masa ini. Saya bimbang seandainya apa yang dirancang tidak menjadi, nanti malu.
"Bakal suami saya seorang yang bekerja dalam bidang pembinaan. Kami baru saja tiga bulan berkenalan," jelas aktres drama "Autumn Di Hatiku" ini lagi.
Hanez turut memberitahu dia merancang untuk melangsungkan perkahwinan sekitar bulan Jun selepas tamat pementasan sebuah teater di Istana Budaya yang bakal dijayakannya.
Hanez Suraya Pilih Ahli Perniagaan
SS
SELEPAS tersebarnya berita perkahwinan aktres cantik, Hanez Suraya Abdul Aziz, pelakon drama Love You Mr Arrogant ini mengambil keputusan untuk terus mengunci mulut mengenai perkara itu.
Mengakui akan menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini, Hanez bagaimanapun lebih selesa untuk merahsiakannya terlebih dahulu. “Tarikh dan tempatnya dah ada, tapi saya benar-benar belum bersedia untuk memberitahunya pada umum.
“Tapi, jangan risau. Saya akan umumkannya juga apabila tiba masanya nanti,” katanya.
Bukan sengaja untuk berahsia, jelas Hanez, tindakan itu dibuat lantaran tidak mahu sebarang perkara tidak elok berlaku di kemudian hari.
“Fokus saya kini adalah pada soal kerjaya, jadi cerita-cerita macam ini tak perlulah dihebohkan,” jelasnya.
Turut merahsiakan perihal jejaka yang berjaya mencuri hatinya itu, anak jati Kuala Lumpur ini bagaimanapun mengakui jejaka itu bukanlah dari kalangan orang kenamaan.
“Dia hanyalah orang biasa. Dia seorang ahli perniagaan dan berumur 34 tahun.
“Kami berkenalan menerusi seorang rakan. Bermula sebagai kawan, dan akhirnya kami menjadi rapat.
“Proses itu menjadi cepat mungkin kerana masing-masing sudah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya (perkahwinan),” kata aktres berusia 29 tahun itu.
Tambahnya lagi, keluarga turut menggesa agar mereka segera berkahwin.
“Kedua-dua keluarga sangat senang dengan perhubungan kami. Merekalah yang mencadangkan agar kami cepat kahwin. Lebih-lebih lagi apabila saya seorang selebriti, takut jika ada yang berniat kurang baik pada kami. Doakan saya agar semuanya dipermudahkan,” katanya yang sudah lama bersedia untuk menamatkan zaman bujang.
Projek Kahwin
Beralih mengenai perkembangan terbaharunya, pelakon drama ini juga buat pertama kalinya akan terbabit dalam satu pementasan teater di Panggung Sari, Istana Budaya pada Jun ini.
Beritahu Hanez, dia bakal menggalas watak utama di samping pelakon berbakat, Izzue Islam dalam teater yang berjudul Projek Kahwin.
“Saya telah menerima tawaran daripada produksi MASK Team sejak tahun lalu lagi. Cuma ketika itu, saya telah menolak.
“Namun, setelah berfikir, saya nekad untuk menerima tawaran ini dan yakin dengan kemampuan diri,” katanya.
Tambahnya lagi, tawaran berlakon teater itu juga sebagai membuka satu peluang baharu buat dirinya.
“Ada produksi yang sudah membuka peluang itu, jadi apa salahnya kalau saya ambil,” katanya sambil memberitahu sesi latihannya akan bermula pada Mei nanti.
Dalam pada itu, Hanez juga baru saja tamat menjalani penggambaran drama bersiri Autumn Di Hatiku 2 bersama-sama Kim Jin Sung, Ezzaty Abdullah dan ramai lagi.
Masih memegang watak sebagai seorang gadis yang gilakan muzik dan dunia hiburan K-Pop, Hanez gembira apabila dia dapat kembali menjayakan watak Nina.
“Kali ini, watak Nina lebih gila-gila dan hunky-punky. Karakter saya lebih nakal untuk siri yang kedua ini,” katanya.
Jelasnya lagi, Auntumn Di Hatiku 2 akan bersiaran di Tonton mulai 27 Februari ini.
-Sinar harian