"Bila Masa Misha Pernah Kahwin?" - Bakal Suami
- Details
- Published on Wednesday, 05 February 2014 09:43
Bakal suami kepada penyanyi yang popular dengan lagu Angin Syurga, Misha Omar iaitu Fiross Ezzwan Rosly, 32, menerima dengan terbuka dakwaan bakal isterinya itu dikatakan pernah berkahwin dengan individu berstatus orang kenamaan.
Menurut Fiross yang pernah putus tunang dengan Misha pada 2009, khabar tersebut sikit pun tidak menimbulkan rasa bimbang apatah lagi syak wasangka terhadap Misha kerana dia sangat mengenali dan percaya kepada tunangnya itu. Kalaupun dia terbaca tentang gosip tersebut, juruterbang syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ini berkata, dia tidak mengambil serius mengenai berita itu.
"Saya kenal dia dan saya percaya dia. Dia pandai jaga diri. Sejak saya kenal dia dan sejak kami bertunang, saya selalu dengan dia. Jadi, bila masa pula dia sempat kahwin dengan orang lain? Saya ada juga terbaca tentang gosip-gosip tu tapi saya bagi saya sekadar untuk seronok, seronok saja", kata Fiross ketika ditemui pada majlis minum petang bersama media, bertempat di restoran Delicious, One Utama, petang semalam.
Ditanya apa yang membuatkan dia sabar menanti untuk memperisterikan Misha, walaupun sebelum ini rancangan pernikahan mereka pernah tertangguh sebanyak dua kali sebelum ini, kata Fiross, keserasian membuatkan ikatan cinta mereka kuat meskipun dihimpit pelbagai dugaan. Malah jejaka ini berasa bertuah akhirnya dia akan memiliki Misha secara sah tidak lama lagi.
"Senang berkawan dengan dia. Saya kenal dia sebagai Samiha Omar. Selama 8 tahun kami kenal tu, rasa macam sekejap saja masa berlalu. Tapi saya akui, bila dia jadi Misha Omar, saya agak kekok juga.
"Kami dah kongsi tanggungjawab ni dah lama. Akhirnya kami akan kahwin dan lepas ni kami dah boleh tinggal serumah. Sebelum ni tak boleh. Selama ni boleh peluk anak (Adam, anak angkat Misha) saja. Lepas ni bolehlah peluk dia", tuturnya dengan nada bergurau.
Sementara itu, Misha yang duduk di sebelah Fiross lantas berkata, perasaannya bercampur baur antara teruja, seronok dan sebak dalam menanti sehingga hari mereka dijabkabulkan, kira-kira tiga bulan saja.
"Kami mula berkenalan sejak tahun 2007. Kami bermula sebagai kawan kemudian bercinta. Kemudian putus cinta, dan akhirnya kembali semula sebagai pasangan kekasih. Kemudian pada 2011 dia muncul semula dan ketika itu dia ajak saya kahwin", dedah Misha.
Tambahnya lagi, dia bersyukur kerana sepanjang tiga bulan melalui saat menyedihkan ekoran pemergian bapa tercinta, Fiross sentiasa ada di sisinya dan tidak putus-putus memberikannya semangat.
"Dari awal dia ada dengan saya melihat sendiri saya berdepan dengan pelbagai dugaan termasuklah saat ayah saya meninggal dunia. Dia banyak memberi semangat kepada saya. Selain itu, masa merupakan salah satu dugaan yang kami hadapi sepanjang pertunangan ini kerana ada saja dugaan yang terpaksa kami lalui sebelum tiba masa kami akan disatukan sebagai suami isteri.
"Arwah ayah saya dengan dia sangat rapat. Arwah ayah dah lama restui kami cuma mungkin rezeki kami belum sampai untuk berkahwin. Siapa yang tidak mahu hari bahagia kita disaksikan oleh orang-orang yang penting dalam hidup kita terutama ayah dan ibu kita. Namun semuanya atas kehendak-Nya. Alhamdulillah, akhir masa kami tiba dan ini adalah satu kemenangan bagi kami setelah berdepan macam-macam dugaan", katanya.
Dalam masa sama, Misha mengakui masih sukar untuk menerima pemergian ayahnya namun atas sokongan keluarga dan Fiross, dia kuatkan juga semangatnya untuk meneruskan kehidupan.
Misha dan Fiross mengikat tali pertunangan sekitar Februari 2012. Pasangan ini mengumumkan akan bernikah pada Mei ini yang mana majlis pernikahan mereka akan berlangsung di kampung halaman Misha, di Kota Bahru, Kelantan. Sementara majlis resepsi sebelah pihak lelaki akan diadakan di Kuala Lumpur.
- mD