Translate

25 March 2025

Sultan Pahang seru umat Islam tunaikan kewajipan bayar zakat fitrah



Sultan Pahang seru umat Islam tunaikan kewajipan bayar zakat fitrah

Bernama

25/03/2025


Al-Sultan Abdullah bertitah pada Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Marhum yang dimahsyurkan dengan nama Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan, Pekan, semalam. - Foto FB Kesultanan Pahang


KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh umat Islam di negeri ini agar menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah sebagai satu ibadah yang menyucikan jiwa.

Baginda bertitah zakat fitrah yang merupakan kewajipan sering kali dipandang ringan walhal ia bukan sekadar rukun Islam, tetapi juga lambang kepada keprihatinan sosial Islam yang perlu dipandang serius.

"Semoga zakat yang ditunaikan menjadi sumber keberkatan dan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan rakyat jelata," titah baginda yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Marhum yang dimahsyurkan dengan nama Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan, Pekan, semalam.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) atas usaha mengagihkan bantuan Ramadan berjumlah RM21.69 juta kepada lebih 35,000 penerima termasuk asnaf, institusi masjid, pusat pengajian dan saudara baharu.

Sultan Pahang bertitah ia sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat terutamanya golongan memerlukan bantuan dan sokongan untuk meneruskan kehidupan.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah juga menyeru seluruh rakyat negeri ini agar menyambut lebaran bakal tiba tidak lama lagi dengan kesederhanaan, kewaspadaan dan kasih sayang.

"Saban tahun, pembaziran sentiasa berlaku apabila masuknya Ramadan. Sebanyak 90,000 tan makanan dibazirkan dan dibuang di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan pada tahun 2023 yang lalu dan angka ini melonjak menjelang hari raya.

"Ingatlah, setiap sen yang dibelanjakan berlebihan, setiap juadah dibazirkan, itu bukan cerminan Islam sebenar," titah baginda.

Sultan Pahang turut mengingatkan rakyat agar mengutamakan keselamatan dan sentiasa berhati-hati di jalan raya dan tidak mementingkan diri sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman meraikan Aidilfitri.

"Aidilfitri seharusnya mempertemukan kita dengan yang tersayang, bukan meninggalkan mereka dalam tangisan. Berpada-padalah dalam berbelanja, berhati dalam bergaya, utamakanlah keselamatan, hargailah keluarga dan insan tersayang. Kerana itulah, sebenar-benar makna hari raya," titah baginda.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Oslo viewed 'Bapa rakam penghargaan atas sumbangan rakyat Malay' 2 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Empat Cedera Lantai Rumah Runtuh Ketika Beraya | B' 13 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Sultan Nazrin berangkat ke majlis hari raya pering' 16 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Anggota tentera dikatakan tumbuk pemandu wanita di' 17 mins ago
A visitor from Vermont viewed 'Netizen Berang Kes Maki Hamun Pegawai JPJ Di Wecha' 20 mins ago
A visitor from Vermont viewed 'KL court official called back to court for trial |' 20 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Laporan insiden lelaki OKU maut digilis tren dihan' 29 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'PDRM kekal teguh jaga keamanan' 30 mins ago
A visitor from Alabama viewed 'Malaysian Woman who was kidnapped and held hostage' 40 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Kanak-kanak meninggal dunia kemalangan di Terowong' 40 mins ago