Sindiket penyeludupan migran Indonesia di Ampang tumpas
Bernama
21/03/2025

Ejen haram atau transporter yang menguruskan juga terdiri warga Indonesia dan kebanyakan migran diambil dari sekitar Johor dan Negeri Sembilan. - Foto JIM
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket ejen penyeludupan migran Indonesia dalam operasi khas di Ampang, Selangor pada 19 Mac.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata bertindak atas maklumat awam dan hasil risikan, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan menahan sebuah kenderaan Perodua Aruz yang digunakan oleh seorang transporter untuk mengangkut migran.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati pemandu atau transporter ialah seorang wanita dan dua lelaki warga Indonesia.
"Empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang berada di kawasan parkir premis turut diperiksa dan mengaku untuk dihantar pulang ke negara asal melalui pintu yang tidak diwartakan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zakaria berkata modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan membawa masuk dan menghantar migran larangan pulang, dengan bayaran mencecah sebanyak RM4,500 seorang melalui pintu yang tidak diwartakan.
"Ejen haram atau transporter yang menguruskan juga terdiri warga Indonesia dan kebanyakan migran diambil dari sekitar Johor dan Negeri Sembilan," katanya.
Beliau berkata pasukan operasi turut menjalankan pemeriksaan ke atas premis yang dijadikan sebagai "rumah penampungan" dan transit bagi migran larangan.
Hasil pemeriksaan turut menemukan seorang wanita yang tidak berdaya dipercayai mangsa eksploitasi yang diserahkan oleh majikan kepada ejen haram untuk dihantar pulang ke negara asal dan menjumpai beberapa pasport milik orang lain.
Zakaria berkata operasi bermula pada 4.52 petang itu turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
Beliau berkata JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
-- BERNAMA