KPDN rampas toner tiruan bernilai RM90,000
Bernama
21/03/2025

Azman berkata pemilik cap dagang mengesahkan kesemua toner yang ditemukan di dalam lori itu adalah barang tiruan. - Foto fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kuala Krai merampas 277 toner disyaki tiruan bernilai lebih RM90,000 di sini semalam.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata rampasan dilakukan kira-kira 10.30 pagi selepas pegawai penguat kuasa memeriksa sebuah lori Isuzu bernombor pendaftaran tempatan dipercayai sedang membekalkan toner menggunakan cap dagangan tidak sah.
"Pemilik cap dagang mengesahkan kesemua toner yang ditemukan di dalam lori itu adalah barang tiruan. Kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan demi melindungi hak pengguna.
-- BERNAMA