Pelbagai persepsi terhadap PDRM di media sosial, namun masyarakat terus beri kepercayaan - KPN
Bernama
25/03/2025

Razarudin berkata meskipun sering tular pelbagai kecaman dan tohmahan namun, masyarakat masih memberi kepercayaan dan harapan tinggi kepada pasukan keramat itu dalam memastikan kesejahteraan negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persepsi masyarakat terutama di media sosial terhadap kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyelesaikan kes berprofil tinggi menjadi cabaran kepada seluruh warga pasukan dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatannya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata meskipun sering tular pelbagai kecaman dan tohmahan namun, masyarakat masih memberi kepercayaan dan harapan tinggi kepada pasukan keramat itu dalam memastikan kesejahteraan negara.
"Dengan jumlah lebih 134,000 anggota, saya dan barisan kepimpinan tertinggi pasukan mengharapkan masyarakat turut membantu memperteguhkan penyampaian perkhidmatan dan integriti warga pasukan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Polis ke-218 tahun 2025 di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, PULAPOL di sini hari ini, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Razarudin berkata tahun lepas pasukan itu dihujani dengan seribu satu persepsi oleh masyarakat berikutan beberapa kes berprofil tinggi yang menggemparkan negara, antaranya penahanan seorang lelaki Israel bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru, dan tragedi berdarah serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang turut mengorbankan anggota polis.
Beliau berkata PDRM juga berhadapan insiden pencerobohan di Balai Polis Datuk Keramat Pulau Pinang serta pembongkaran kes yang berkaitan dengan Syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISB).
Dalam usaha mencegah jenayah dan mengurangkan persepsi negatif terhadap isu keselamatan negara, beliau berkata hubungan antara polis dan masyarakat perlu diperkukuhkan sesuai dengan tema "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada" dalam mengekalkan budaya mesra polis dan perkongsian tanggungjawab.
"PDRM turut mempertingkatkan kolaborasi dan libat urus secara kolektif dan konsisten dengan pelbagai pihak melibatkan kementerian, agensi kerajaan mahupun tempatan, swasta dan antarabangsa.
"Inisiatif ini tidak hanya terhad kepada "core business" PDRM, malah turut bertujuan memperkasakan profesionalisme, kecekapan dan keupayaan sumber manusia pasukan," katanya.
Razarudin seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri terhadap pengumuman mengenai pemberian dana 11.33 bilion di bawah Belanjawan 2025 dan di bawah anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM30 juta yang telah diterima bagi kerja-kerja penyelenggaraan fasiliti.
Sebanyak 18 projek pembinaan Ibu pejabat Polis Daerah, Balai Polis, Perumahan dan lain-lain fasiliti juga telah diluluskan dengan implikasi kewangan berjumlah lebih RM2.3bilion di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) tahun 2025.
"Ini adalah jumlah projek paling banyak diluluskan berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya.
-- BERNAMA