MA63: Tafsiran kuota kerusi Parlimen, pelantar benua dijangka dimuktamad Mei ini - Fadillah
Bernama
16/03/2025

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Kem Ihya Ramadan anjuran Pertubuhan Kebajikan Sahabat Amal Negeri Sarawak (SAC), hari ini. - Foto BERNAMA
KUCHING: Tafsiran perundangan antaranya melibatkan kuota kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak serta isu takrifan pelantar benua yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dijangka dimuktamadkan dalam Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada Mei ini.
Isu kuota kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak serta takrifan pelantar benua berkaitan MA63 dijangka dimuktamadkan dalam mesyuarat MTPMA63 pada Mei.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menyatakan keputusan akhir perlu diperhalusi dalam mesyuarat pengurusan tertinggi negara.
Kerajaan MADANI telah menyelesaikan sembilan tuntutan berkaitan MA63 setakat ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata ia bagaimana pun perlu dibawa ke mesyuarat pengurusan tertinggi negara untuk diperhalusi terlebih dahulu.
Beliau berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
"Kita akan bincang untuk dapatkan hala tuju, diharapkan akan ada keputusan...kalau tiada keputusan maka perlu ada langkah-langkah perundingan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Kem Ihya Ramadan di Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak, di sini hari ini.
Pada 13 Mac lepas, Fadillah dilapor berkata Kerajaan MADANI telah berjaya menyelesaikan sembilan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) setakat ini.
Sementara itu mengenai Kem Ihya Ramadan, Fadillah dalam catatan di platform X berkata ia suatu inisiatif yang berterusan dalam membentuk sahsiah remaja Muslim yang berakhlak mulia.
"Sejak diperkenalkan pada 2013, kem ini telah menjadi platform penting dalam pembentukan peribadi remaja melalui penghayatan Ramadan. Hati yang baik akan mendorong kita kepada perkara yang baik.
"Dalam era digital ketika ini, ramai anak muda telah berjaya menjadi usahawan dan pencipta kandungan melalui teknologi. Justeru, kita perlu memperkukuhkan hati, emosi dan mental agar setiap peluang yang ada dapat dimanfaatkan dengan ilmu dan kebijaksanaan," katanya.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata beliau juga akan terus menyokong program-program yang menekankan latihan dan pendidikan, termasuk bagaimana teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan Data Raya (Big Data) yang boleh dimanfaatkan untuk pentadbiran serta kesejahteraan masyarakat.
"Semoga program seperti ini terus berkembang dan memberi manfaat yang berpanjangan," katanya.
Program penutupan Kem Ihya Ramadan dihadiri Pengarah Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) Zaizurina Mansor dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Amal Negeri Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kem Ihya Ramadan 2025 Wan Lukmanhakim Wan Sajali
-- BERNAMA