Lelaki ditahan tumbuk kepala penunggang motosikal
Bernama
17/03/2025

Video berdurasi 47 saat menunjukkan penunggang motosikal dikasari seorang lelaki. -Video tular
MELAKA: Polis menahan seorang lelaki disyaki menumbuk kepala seorang penunggang motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Kota Shahbandar awal pagi semalam.
Polis menahan seorang lelaki berumur 25 tahun yang disyaki menumbuk kepala seorang penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat di Kota Shahbandar.
Suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk semasa kejadian dan motif kejadian masih dalam siasatan.
Video insiden tersebut tular di media sosial, menunjukkan penunggang motosikal dikasari oleh suspek.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata suspek berumur 25 tahun itu ditahan di Kota Shahbandar pada 3 petang sebelum dibebaskan atas faktor kesihatan.
"Suspek ditahan untuk diambil keterangan seterusnya membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Christopher berkata dalam kejadian kira-kira 2 pagi Ahad itu, suspek dipercayai secara tiba-tiba turun dari kenderaan Toyota Vellfire berwarna hitam dinaikinya lalu menumbuk belakang kepala mangsa ketika tiba di persimpangan lampu isyarat berkenaan.
"Ketika kejadian, mangsa sedang menunggu lampu isyarat dan akibat tindakan suspek itu, mangsa kemudian turun daripada motosikal lalu menolak lelaki tidak dikenalinya itu.
"Melihat kejadian itu, pengguna jalan raya yang kebetulan berada di lokasi kejadian datang membantu mangsa dan suspek kemudian masuk ke dalam kenderaannya sebelum bertindak melarikan diri," katanya.
Christopher berkata ketika kejadian, suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk dan motif kejadian masih dalam siasatan.
Terdahulu, video berdurasi 47 saat tular dalam media sosial menunjukkan penunggang motosikal dikasari seorang lelaki.
-- BERNAMA