Lelaki maut ketika selamatkan anak terjatuh sungai ketika memancing
Bernama
27/03/2025

Seorang lelaki maut akibat lemas dipercayai ketika cuba menyelamatkan anaknya yang terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di Kampung Bukit Jati, Klang, malam tadi.
SHAH ALAM: Seorang lelaki maut akibat lemas dipercayai ketika cuba menyelamatkan anaknya yang terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di Kampung Bukit Jati, Klang, dekat sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 7.42 malam.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, lelaki berusia 40 tahun tersebut sedang memancing bersama anak lelakinya yang berumur 11 tahun sebelum insiden malang itu berlaku.
"Mangsa dipercayai terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan anaknya. Anak mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital oleh orang awam.
"Mangsa dilaporkan berjaya ditemukan sekitar 9 malam pada jarak tiga meter dari lokasi dia dipercayai jatuh dan operasi membawa naik mayat dilakukan oleh anggota bomba bertugas," menurutnya dalam satu kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata, operasi itu membabitkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Selatan.
-- BERNAMA