SC kemas kini garis panduan tawaran saham syarikat awam tidak tersenarai
Bernama
28/03/2025

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan garis panduan baharu mengenai tawaran saham oleh syarikat awam tidak tersenarai (UPC), bertujuan untuk meningkatkan perlindungan pelabur dan memelihara integriti pasaran.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan garis panduan baharu mengenai tawaran saham oleh syarikat awam tidak tersenarai (UPC), bertujuan untuk meningkatkan perlindungan pelabur dan memelihara integriti pasaran.
Garis panduan itu yang akan berkuat kuasa hari ini, menggantikan garis panduan tawaran saham oleh syarikat awam tidak tersenarai kepada pelabur sofistikated yang dikeluarkan oleh SC pada 2021.
"Ia merupakan sebahagian daripada pembaharuan pasaran dan peraturan yang sedang dilakukan oleh SC," kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.
Ketika mengemaskini garis panduan itu, SC telah mengambil kira kebimbangan dan aduan mengenai penawaran saham oleh UPC khususnya mengenai kualiti maklumat dan standard pendedahan dalam memorandum maklumat (IM), ke arah memudahkan keputusan pelaburan yang lebih termaklum.
"Ini termasuk, antara lain, janji pulangan tinggi yang tidak realistik dan pendedahan yang tidak mencukupi mengenai risiko yang menjejaskan pulangan.
"Terdapat juga keadaan yang melibatkan saham UPC, yang dikhususkan untuk pelabur sofistikated, ditawarkan kepada pelabur runcit tanpa mendaftarkan prospektus dengan SC, seperti yang dimandatkan oleh undang-undang sekuriti," katanya.
Suruhanjaya itu berkata garis panduan baharu itu memperkenalkan beberapa langkah, termasuk perundingan dengan SC dan pelantikan penasihat kewangan korporat (CFA) sebelum memulakan tawaran saham, keperluan kandungan minimum untuk IM, dan tempoh sah selama 18 bulan dari permulaan tawaran.
Ia juga termasuk kewajipan tingkah laku untuk semua pihak yang terlibat, termasuk CFA, lembaga pengarah UPC, ejen yang dilantik dan penasihat Syariah untuk saham patuh Syariah.
Selain itu, garis panduan itu menggariskan lebih lanjut keperluan pelaporan, termasuk penyerahan laporan kemas kini selepas terbitan suku tahunan, pengesahan tahunan oleh juruaudit syarikat yang diluluskan mengenai penggunaan sebenar hasil dan layanan tawaran berterusan yang dibuat oleh UPC sebelum garis panduan itu berkuat kuasa, katanya.
SC berkata semakan ini dibuat dengan mengambil kira penglibatan industri, termasuk maklum balas daripada CFA.
Garis Panduan baharu dan Soalan Lazim yang disertakan boleh didapati di https://www.sc.com.my/regulation/guidelines/upc.
-- BERNAMA