Kerajaan tidak campur tangan keputusan badan kehakiman - PM Anwar
Astro Awani
16/03/2025

Anwar menegaskan pengawasan perlu dilakukan oleh badan bebas terhadap badan kehakiman bagi menjamin semak dan imbang. -Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan tidak pernah sesekali campur tangan dalam sebarang keputusan membabitkan badan kehakiman.
Kerajaan tidak campur tangan dalam keputusan badan kehakiman, tetapi bertanggungjawab memastikan pelantikan yang berwibawa dan bebas dari rasuah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pentingnya pengawasan oleh badan bebas untuk menjamin semak dan imbang dalam badan kehakiman.
Majlis Peguam mengutuk sebarang campur tangan terhadap kebebasan badan kehakiman dan menggesa penubuhan suruhanjaya siasatan bebas.
Bagaimanapun, perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan mereka yang dilantik dalam badan itu mempunyai kewibawaan.
Paling penting, katanya, mereka adalah dalam kalangan yang tidak terjerumus dengan kepentingan perniagaan serta rasuah.
"Saya mahu tanya, kes mana yang kita ada campur, keputusan mana saya cakap, bincang dengan hakim, tidak ada.
"Bagi kita, Perdana Menteri tidak boleh kompromi dan tidak boleh terbabit dengan apa-apa kes mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, di sini, pada Ahad.
Ia sebagai maklum balas kepada kenyataan Majlis Peguam dalam resolusinya pada Sabtu yang mengutuk keras sebarang campur tangan terhadap kebebasan badan kehakiman oleh badan eksekutif.
Ini termasuk badan legislatif atau mana-mana individu serta entiti yang bertujuan mengatasi Perlembagaan dan perundangan dalam pelantikan kehakiman.
Kata Majlis Peguam, ini selaras dengan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.
Resolusi itu juga menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas bagi menjalankan siasatan menyeluruh dan telus terhadap ucapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat semasa Majlis Pembukaan Tahun Perundangan pada Januari lalu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pengawasan perlu dilakukan oleh badan bebas terhadap badan kehakiman bagi menjamin semak dan imbang.
"Saya tidak campur dan ada beberapa proses lain kita bincang. Ini bukan bermakna perdana menteri dan menteri itu betul atau pun hakim semua betul.
"Mesti ada pengawasan, mesti ada semak dan imbang, mesti ada badan-badan (yang pantau badan kehakiman), apakah dia membayar cukai, apakah ada unsur rasuah kerana perkara ini pernah berlaku secara meluas.
"Jadi, setiap perubahan itu harus dilakukan secara berhati-hati," ujarnya.