Noniswara Bersyukur Anak Dapat 9A
Anak kedua dramatis Noniswara, Nur Erysha Emyra Zakaria, 18, berjaya meraih keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.
Erysha mendapat A bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Sains, Prinsip Perakaunan, Ekonomi dan Pendidikan Islam.
Nonis atau nama sebenarnya Noniswara Baharudin, 48, berkata beliau berbangga dengan kejayaan Erysha yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Aminudin Baki.
Katanya, pencapaian itu adalah hasil sikap remaja itu sendiri yang amat berdisiplin di bidang akademik.
"Alhamdulillah, semestinya sebagai ibu, saya berbangga, sebak dan gembira. Tiada kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan kegembiraan ini melihatkan kejayaan seorang anak.
"Erysha anak yang berdisiplin dalam akademik. Saya tidak perlu bersusah payah hendak memaksanya, sebaliknya dia sendiri tahu apa yang perlu dibuat. Jujurnya, bukan dia seorang saja, anak-anak saya yang lain juga begitu," katanya seperti yang dilaporkan BH Online.
Tambah Nonis, Erysha merancang untuk mengikuti kursus dalam bidang perakaunan di universiti tempatan terlebih dulu sebelum melanjutkan pengajian ke United Kingdom.
Dalam pada itu, Nonis berkata, Erysha belum meminta apa-apa hadiah daripadanya. Namun suaminya berhasrat membelikan kereta Mini Cooper untuk anaknya itu.
Selain Erysha, Nonis mempunyai dua lagi cahaya mata iaitu Naveer Mihshon Zakaria, 22 dan Nazeer Danish, 10.
MalaysianDigest
MalaysianDigest