Translate

21 March 2025

Tempahan pesawat baharu MAG kukuhkan komitmen untuk pertumbuhan - PM Anwar



Tempahan pesawat baharu MAG kukuhkan komitmen untuk pertumbuhan - PM Anwar

Bernama

21/03/2025


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pesawat Baharu dengan Syarikat Boeing di sebuah hotel hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar


PUTRAJAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) membuat tempahan tinggi melibatkan 30 pesawat Boeing 737, meliputi 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 pesawat Boeing 737-10 dengan kuasa enjin CFM LEAP-1B, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malaysia Aviation Group (MAG) membuat tempahan 30 pesawat Boeing 737, dengan pilihan untuk membeli 30 pesawat tambahan menjelang 2030.

Tempahan ini mengesahkan komitmen MAG untuk terus berkembang dan berdaya tahan, serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam penerbangan global.

Pelaburan ini dijangka membuka pintu kepada perdagangan, pelancongan, dan peluang baharu, serta memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia.

Beliau berkata tempahan itu disertakan dengan pilihan untuk membeli 30 pesawat tambahan yang akan dihantar menjelang 2030.

Anwar berkata tempahan oleh MAG adalah pelaburan yang mengesahkan komitmen syarikat itu untuk terus berkembang dan berdaya tahan.

"Pencapaian ini bukan sekadar memodenkan kumpulan pesawat MAG malah juga mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peserta utama dalam penerbangan global di samping meneguhkan asas ekonomi kita dalam dunia yang semakin kompetitif.

"Penerbangan sentiasa menjadi pemangkin untuk kemajuan ekonomi, membuka pintu kepada perdagangan, pelancongan dan peluang baharu," kata beliau ketika berucap di majlis Pertukaran Dokumen bagi Tempahan Penggantian Pesawat Lorong Tunggal MAG di sini, pada Jumaat.

Anwar berkata pelaburan MAG membuktikan komitmen syarikat untuk melakarkan kemajuan dan demi masa depan perjalanan udara untuk seluruh rakyat Malaysia.

"Kesan susulan akan dinikmati di seluruh ekonomi kita, mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan dan individu," kata beliau.

Beliau berkata selama beberapa dekad, syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan apabila ia juga merupakan ikon negara dan membawa bendera Malaysia ke setiap pelusuk dunia.

"Sama pentingnya, ini mengenai langkah memberikan sebuah syarikat penerbangan nasional untuk rakyat Malaysia, yang boleh mereka banggakan, yang menjunjung nilai Malaysia MADANI kita iaitu kemajuan, keadilan dan keharmonian sosial, di samping memperjuangkan kemampanan dan keterangkuman.

"Prinsip-prinsip ini adalah asas komitmen kita kepada Malaysia yang lebih kukuh, lebih berdaya tahan dan sedia masa hadapan," kata beliau.

Terdahulu, Anwar menyaksikan pertukaran dokumen simbolik antara MAG, Boeing, dan CFM International.

Turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group Datuk Kapten Izham Ismail.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Kuala lumpur viewed 'Usul seragamkan agensi kerajaan dibawa ke Kabinet ' 3 mins ago
A visitor from Indiana viewed 'KL court official called back to court for trial |' 5 mins ago
A visitor from Segamat viewed 'Diesel prices to drop by 5 cents from tomorrow | B' 7 mins ago
A visitor from Singapore viewed 'Datuk rayu sumbangan untuk bantu rawatan cucu hida' 14 mins ago
A visitor from Louisiana viewed 'Datuk rayu sumbangan untuk bantu rawatan cucu hida' 17 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'BEST FBKL'S Top Ramadan Buka Puasa Buffet 2025 - i' 19 mins ago
A visitor from Segamat viewed 'Lelaki bersenjatakan pistol rompak kedai emas di K' 37 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Lelaki bersenjatakan pistol rompak kedai emas di K' 37 mins ago
A visitor from Boardman viewed 'Datuk rayu sumbangan untuk bantu rawatan cucu hida' 50 mins ago
A visitor from Boardman viewed 'Ramanan sampaikan sumbangan RM190,000 kepada 16 ma' 51 mins ago