Sultan Pahang seru kerajaan negeri beri perhatian serius isu hakisan pantai
Bernama
25/03/2025

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Marhum yang dimasyhurkan dengan nama Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan, Pekan, semalam. - Foto FB Kesultanan Pahang
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru kerajaan negeri supaya memberikan perhatian serius serta bertindak segera bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai di negeri itu demi keselamatan dan kepentingan rakyat.
Baginda bertitah isu hakisan pantai di Pahang didapati semakin kritikal khususnya di kawasan Padang Api-Api, di sepanjang jajaran jalan Pekan-Nenasi dan kerana itu Al-Sultan Abdullah menzahirkan kebimbangan akan situasi tersebut.
"Berdasarkan maklumat dan pemerhatian saya sendiri ketika saya menaiki helikopter dalam perjalanan ke Rompin, saya ada ambil gambar... dianggarkan lebih kurang 300 ekar tanah telah terhakis akibat hakisan laut.
"Malah, jalan utama kini berada terlalu hampir dengan garis pantai, tunggu masa sahaja. Sekiranya tiada tindakan segera diambil, terdapat risiko besar jalan tersebut akan musnah ditelan laut dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang," titah baginda yang dimuat naik dalam Facebook Kesultanan Pahang.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Marhum yang dimasyhurkan dengan nama Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan, Pekan, semalam.
Pada awal Januari lepas, media melaporkan masalah hakisan pantai Sungai Lumpur di Kampung Jawa, Rompin dekat sini disebabkan fenomena air pasang besar semakin meruncing dengan lebih 50 penduduk berhampiran terjejas.
Penduduk memohon agar kerajaan segera menaik taraf benteng pemecah ombak sedia ada kerana ia tidak lagi mencukupi bagi menangani hakisan pantai setiap kali musim Monsun Timur Laut dan fenomena air pasang besar.
-- BERNAMA