Jangan salah guna jalan raya untuk berlumba haram - Abang Johari
Bernama
27/03/2025

Kemudahan jalan raya yang semakin baik khususnya di kawasan luar bandar di Sarawak tidak harus disalahgunakan bagi tujuan menyalahi undang-undang seperti perlumbaan haram, kata Abang Johari. - Gambar fail Bernama
KUCHING: Kemudahan jalan raya yang semakin baik khususnya di kawasan luar bandar di Sarawak tidak harus disalahgunakan bagi tujuan menyalahi undang-undang seperti perlumbaan haram.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan membuat jalan raya bagi memberi kemudahan kepada rakyat dan kawasan Dewan Undangan Negeri Gedong, kira-kira 90 kilometer dari sini tidak terkecuali daripada menikmati kemudahan berkenaan.
"Tidak lama lagi jalan raya kita di sini akan menjadi lebih besar dan kita mula membinanya tahun depan (untuk dihubungkan) hingga ke Samarahan... lebuh raya empat lorong.
"Jangan gunakan jalan raya untuk berlumba, itu sahaja permintaan saya," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) B2 anjuran Kementerian Pengangkutan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Dewan Datuk Patinggi Ali di Gedong pada Rabu.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah turut hadir pada program yang menyaksikan 1,135 penduduk di kawasan Gedong, Batang Sadong, Sadong Jaya dan Simunjan memperoleh lesen motosikal kelas B2.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Pengangkutan dan JPJ yang dikeluarkan pada majlis itu, program berkenaan antara inisiatif kerajaan yang bertujuan menawarkan bantuan lesen motosikal kelas B2 kepada rakyat berpendapatan rendah dengan kos minimum.
"Pelaksanaan program yang bermula awal tahun 2024 itu berjaya melesenkan 13,370 penduduk di seluruh Sarawak. Jumlah penyertaan itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa berdasarkan syarat dan kriteria yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA