Translate

09 January 2025

Wanita dipenjara tiga tahun miliki bahan berkaitan kumpulan Daish



Wanita dipenjara tiga tahun miliki bahan berkaitan kumpulan Daish

Bernama

09/01/2025


Suhaini didakwa memiliki artikel berkaitan kumpulan pengganas Daish dan perbuatan pengganas dalam komputer ribanya tahun lalu. - Gambar fail/BERNAMA


KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai pemasaran dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daish.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Suhaini Sarwan, 47, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan.

"Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan hukuman itu berjalan secara serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap (30 Mei 2024). Barang-barang kes dilucut hak dan diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya," kata hakim itu.

Mengikut pertuduhan, Suhaini didakwa memiliki artikel berkaitan kumpulan pengganas Daish dan perbuatan pengganas dalam komputer ribanya di Jalan Baiduri, Taman Daiman Jaya, Kota Tinggi, Johor pada 2.20 petang, 30 Mei 2024.

Wanita itu juga didakwa memiliki lima buku berkaitan kumpulan pengganas Daish dan perbuatan pengganas di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, Johor pada 2.20 petang, tarikh sama.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut perenggan 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 130JB(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Berdasarkan fakta kes, pihak polis telah menerima maklumat berkenaan tertuduh yang terlibat dengan kumpulan pengganas Daesh pada 27 Mei tahun lepas dan wanita itu kemudian ditahan selain sebuah komputer riba serta lima buku berkaitan Daish miliknya dirampas di sebuah kawasan perindustrian di Kempas, Johor.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim memohon hukuman berat mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh akan memberi impak besar kepada keselamatan negara, sekiranya jenayah itu tidak dibendung.

"Pihak pendakwaan memohon hukuman berat dengan alasan kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh. Selain itu, mohon hukuman bermula daripada tarikh tangkap dan berjalan serentak," kata Mohammad Fakhrurrazi.

Peguam Sazlinidayu Kamarul Baharin dari Jabatan Bantuan Guaman yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai dua anak perempuan masing-masing berusia 14 dan 18 tahun serta menanggung bapanya berumur 72 tahun.

"Anak guam saya berkelulusan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik dan dia telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. Sebelum ini, anak guam saya bekerja dengan pendapatan RM2,200 sebulan," kata peguam itu.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED