Translate

12 January 2025

Polis sita 60 motosikal Op Samseng Jalanan



Polis sita 60 motosikal Op Samseng Jalanan

Bernama

12/01/2025


Sazalee berkata polis turut mengeluarkan 170 saman atas pelbagai kesalahan trafik. - Foto fail/BERNAMA


BALIK PULAU: Polis menyita 60 motosikal dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini awal hari ini sebagai usaha membanteras kegiatan mat rempit.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata operasi dijalankan bermula 4 pagi selepas polis bertindak hasil aduan pengguna jambatan dan risikan berkaitan kegiatan lumba haram di situ.

"Kesemua motosikal disita adalah hasil pemeriksaan terhadap 120 motosikal. Antara kesalahan dikenal pasti ialah mengubah suai keterlaluan dan individu terlibat menunggang secara berbahaya ala "Superman".

"Seorang daripada lelaki yang diperiksa juga bukan sahaja didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu pada motosikalnya, tetapi juga nombor enjin palsu. Lelaki itu disiasat lanjut bagi mengetahui sama ada motosikal terbabit miliknya atau kenderaan curi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan 170 saman atas pelbagai kesalahan trafik antaranya tiada lesen memandu, nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi dan tiada cukai jalan.

Sazalee berkata pihaknya turut menjalankan operasi sama di kawasan Lebuhraya Dr Lim Chong Eu berhampiran Seagate yang sering menjadi tumpuan geng mat rempit berlumba haram.

Hasil pemeriksaan, katanya pihaknya menahan lapan lelaki berusia 20-an kerana berlumba haram dan menyita lapan motosikal manakala kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED