Polis minta bantuan kesan tiga remaja perempuan hilang di Ipoh
Bernama
06/01/2025
IPOH: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan tiga remaja perempuan yang dilaporkan hilang pada Oktober dan Disember tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata Nurul Syuhada Muksin, 18, dipercayai membawa beg pakaian dan keluar dari asrama sebuah politeknik di sini pada 9 Okt.
"Remaja perempuan itu yang beralamat di Pangsapuri Palma Raja, Bandar Botanic di Klang, Selangor mempunyai ketinggian dianggarkan 152 sentimeter (cm) dengan berbadan kurus dan berkulit sawo matang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abang Zainal Abidin berkata orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat kes Sarjan Jhony Anak Bunsu menerusi talian 012-3019152 atau Balai Polis Ampang Baru 05-5467005.
Sementara itu, beliau berkata K. Ashwinia, 16, masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tasek di sini dilaporkan hilang pada 25 Dis.
Remaja terbabit katanya, beralamat di Persiaran Perajurit T6, Taman Syabas di sini dan berketinggian 162 cm serta berbadan kurus.
"Mana-mana pihak yang mengetahui mengenai remaja itu boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat kes Sarjan Jamariah Ya'acob di talian 012-5500883 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh 05-2451500," katanya.
Abang Zainal Abidin berkata seorang lagi remaja perempuan dikenali sebagai Shomina, 16, merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dilaporkan hilang sejak 24 Dis.
"Shomina yang tidak bersekolah dan beralamat di Pasir Puteh di sini mempunyai ketinggian 140 cm serta berbadan gempal dan berkulit gelap.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat kes Sarjan Mohamad Azlan Mohd Noor (019-5141791) atau IPD Ipoh," katanya.
-- BERNAMA