Translate

08 January 2025

Miliki hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam, dua individu akan kemuka representasi



Miliki hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam, dua individu akan kemuka representasi

Bernama

08/01/2025


Dua individu disyaki ahli GISB akan mengemukakan representasi kepada AGC berhubung pertuduhan memiliki hasil penerbitan larangan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas yang juga ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) dan seorang usahawan yang disyaki ahli GISB akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pertuduhan memiliki hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam, September tahun lepas.

Peguam Boestamam Ahmad yang mewakili Aishah Bula Tajudin, 61, dan Mohammad Nazif Jamluddin, 50, memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes berkenaan di dua Mahkamah Majistret hari ini.

Dalam kes Aishah yang disebut di hadapan Majistret Farah Nabihah Mohammad Dan, Boestamam memaklumkan bahawa representasi itu akan difailkan dalam tempoh terdekat selepas meneliti dokumen berkaitan kes yang diperoleh daripada pendakwaan.

Bagaimanapun, beliau berkata anak guamnya (Aishah) tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini dan memohon kehadirannya dikecualikan pada sebutan kes akan datang kerana masih tertekan dengan pemergian suaminya yang meninggal dunia pada Disember tahun lepas.

"Tertuduh memohon maaf kepada mahkamah ekoran tidak dapat hadir pada hari ini. Beliau masih tertekan dengan kematian suaminya pada 18 Dis lepas. Sebelum ini, suami tertuduh yang mencari nafkah untuk keluarganya," kata peguam itu.

Sementara itu, di hadapan Majistret S. Mageswary, Boestamam yang turut mewakili Mohammad Nazif memohon perkara sama atas alasan serupa.

"Kami baru menerima dokumen berhubung kes ini pada tarikh lepas dan kami juga diarahkan untuk mengemukakan representasi bagi kes ini. Tertuduh (Mohammad Nazif) hanya tukang masak yang buat katering di tempat kejadian (Ekhwan Catering). Jadi, representasi akan dikemukakan kepada AGC bagi menjelaskan perkara itu," katanya.

Selepas mendengar hujahan peguam, Mageswary dan Farah Nabihah menetapkan 19 Feb ini bagi mengetahui status permohonan representasi kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Aishah didakwa memiliki 38 hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam antaranya Darul Arqam 25 Tahun Perjuangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi, Khutbah Aidilfitri 1413 Hijrah, Siri Terkini Era kasih Sayang "Abuya Pemimpin Kasih Sayang" dan Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya, tanpa sebab yang munasabah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sungai Penchala, Brickfields di sini, pada 11.30 pagi, 21 Sept mengikut Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.

Mohammad Nazif pula didakwa memiliki dua hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam, iaitu Perang Teluk Islam akan Kembali Gemilang dan Meruntuh Berhala di Tiongkok di Ekhwan Catering, Kampung Sungai Penchala di Brickfields, pada 10.30 pagi, tarikh sama mengikut akta dan hukuman serupa seperti Aishah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulhilmi Latif dan Amritpreet Kaur Randhawa.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED