AmBank terbit “Ringgit Thieves” untuk cetus kesedaran penipuan kewangan
Astro Awani
07/01/2025
AmBank merintis inisiatif penerbitan drama mini bersiri, “Ringgit Thieves” di saluran media sosialnya dalam usaha meningkatkan kesedaran penipuan kewangan.
KUALA LUMPUR: Kumpulan perbankan, AmBank merintis inisiatif penerbitan drama mini bersiri, “Ringgit Thieves” di saluran media sosialnya dalam usaha meningkatkan kesedaran penipuan kewangan.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada sektor perkhidmatan kewangan lebih luas yang menyokong kempen #JanganKenaScam yang diketuai oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) dan Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan AmBank, Jamie Ling, mendidik orang ramai merupakan satu langkah yang sangat penting dalam dunia digital hari ini.
Kata beliau, memerangi aktiviti jenayah kewangan siber dan mencegah eksploitasi manusia atau kelemahan keselamatan untuk mencuri kata laluan, data atau wang secara langsung adalah satu kemestian yang berterusan.
“Dengan “Ringgit Thieves”, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran semua rakyat Malaysia berkenaan risiko ini.
“Masyarakat yang berpengetahuan lebih sukar untuk ditipu. Walaupun kami seronok menghasilkan siri mini ini secara dalaman, mesej kami adalah mesej yang serius yang memberi kesan kepada ramai daripada kami secara peribadi.
“Kami memohon sokongan semua rakyat Malaysia untuk membantu kami memperkasakan mesej #JanganKenaScam,” jelas beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Di bawah payung #JanganKenaScam, “Ringgit Thieves” diilhamkan daripada peristiwa sebenar di mana AmBank mengetengahkan pelbagai taktik dan modus operandi yang digunakan oleh penipu termasuk penipuan cinta, penipuan identiti dan skim penipuan biasa yang lain.
Ia menampilkan penceritaan yang menarik untuk dihayati penonton dari semua peringkat umur.
Siri mini yang dihasilkan secara produksi dalaman ini telah mengeluarkan empat episod setakat ini, yang boleh ditonton di saluran media sosial AmBank atau layari https://www.ambank.com.my/rt
AmBank, jelasnya, kekal komited dalam usahanya menyokong inisiatif nasional seperti #JanganKenaScam dan menggesa orang ramai untuk sentiasa berpengetahuan dan berwaspada.