Translate

29 October 2024

PLUS aktifkan 21 lokasi 'smart lane' bermula Rabu sempena Deepavali



PLUS aktifkan 21 lokasi 'smart lane' bermula Rabu sempena Deepavali

Bernama

29/10/2024


Zahrul Hakim berkata, PLUS akan meletakkan papan tanda makluman di lokasi terlibat bagi mengelakkan insiden kemalangan terutama melibatkan motosikal. - Foto PLUS


KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan 21 lokasi smart lane atau lorong pintar sepanjang musim perayaan Deepavali bagi memudahkan pergerakan pengguna di kawasan yang telah dikenal pasti mengalami masalah kesesakan trafik kritikal, bermula Rabu ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (Sektor Dasar dan Pembangunan) Datuk Zahrul Hakim Abdullah berkata pengaktifan itu merupakan tambahan kepada lokasi lorong pintar sedia ada yang telah dilaksanakan sempena musim perayaan sebelum ini.

Lokasi lorong itu antaranya terletak di Gua Tempurung-Gopeng Kilometer (KM) 303.2-KM297 (Arah Utara) dan Slim River-Sungkai KM3673- N4354 (Arah Utara) bagi kawasan wilayah tengah, Bandar Cassia- Hentian Sebelah Sungi Bakap KM155.5-KM157.2 (Arah Selatan) di wilayah utara, serta Port Dickson-Seremban di KM260-KM263.1 (Arah Utara) dan Ayer Keroh-Hentian Sebelah Kampung Bemban KM194.5-KM184 (Arah Selatan) bagi wilayah selatan.

"Tempoh pembukaan lorong pintar bergantung kepada lokasi kerana untuk kawasan yang dalam keadaan gelap, ia diaktifkan hingga 10 malam tetapi pengaktifan lorong akan bermula pada Rabu ini hingga Ahad," katanya kepada pemberita selepas meninjau persediaan PLUS sempena perayaan Deepavali di Pusat Pemantauan Trafik Plus di Menara Persada PLUS, semalam.

Zahrul Hakim berkata bagi mengelakkan salah faham pengguna mengenai pengaktifan laluan tersebut, PLUS akan meletakkan papan tanda makluman di lokasi terlibat bagi mengelakkan insiden kemalangan terutama melibatkan motosikal.

"Kita berharap pengguna akan sentiasa bertimbang rasa dan memandu dalam had yang ditetapkan kerana dijangkakan aliran trafik meningkat daripada 1.8 juta kenderaan pada hari biasa kepada 2.1 juta sepanjang musim perayaan ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata pihaknya telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) di aplikasi MyPLUS-TTA bagi membantu pengguna merancang lebih awal perjalanan mereka.

Dalam satu taklimat media kemudiannya, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan menangani kes kemalangan di lebuh raya sepanjang musim perayaan ini dalam kadar segera bagi mengelakkan kesesakan berpanjangan.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Supt Khairul Azhar Ismail berkata sekiranya kes kemalangan itu tidak dapat ditangani dalam tempoh dua jam, pelan mandatory exit akan dilaksanakan bagi menyuraikan aliran trafik.

"Selain, itu kita juga akan menempatkan kira-kira 3,000 petugas di seluruh negara sepanjang tempoh perayaan ini untuk mengawal lalu lintas termasuk 500 orang di 28 sektor dan 16 seksyen, lebuh raya," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Florida viewed 'Tan Sri who tried to bribe the Sultan of Johor wit' 17 mins ago
A visitor from Alabama viewed 'Mangsa, A Sukumaran dipercayai diserang dua lelaki' 47 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Menara KL milik kerajaan, hanya ubah pengurusan - ' 59 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Tujuh sekeluarga terperangkap kepala air diselamat' 1 hr 1 min ago
A visitor from Petaling jaya viewed 'Polis Tembak Mati Tiga Penjenayah | BEST FBKL' 1 hr 6 mins ago
A visitor from Batu caves viewed 'Pemandu lori terlibat kemalangan di Lebuhraya KLK ' 1 hr 14 mins ago
A visitor from Indiana viewed 'A second cousin of the Sultan of Johor was killed ' 1 hr 38 mins ago
A visitor from Wyoming viewed 'Malaysian Woman who was kidnapped and held hostage' 1 hr 48 mins ago
A visitor from Batu caves viewed 'BEST FBKL' 1 hr 57 mins ago
A visitor from Indiana viewed 'KL court official called back to court for trial |' 2 hrs 13 mins ago