KKM nafi kecam lagu APT nyanyian Rose Blackpink, Bruno Mars
Astro Awani
29/10/2024
Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan saluran rasmi KKM bagi mendapatkan maklumat sahih dan terkini mengenai perkara berkaitan kesihatan awam.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan Kerajaan Malaysia ada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung lagu bertajuk 'APT' nyanyian Rose Blackpink dan Bruno Mars seperti dakwaan sebuah artikel terbitan portal hiburan Koreaboo semalam.
Dalam satu kenyataan menerusi laman sosial X hari ini, KKM menjelaskan, sebarang kenyataan berhubung artikel yang dikaitkan dengan KKM itu tidak dikeluarkan atau dibenarkan oleh Kerajaan Malaysia.
"Sehubungan itu, KKM ingin menekankan bahawa penyiaran itu dibuat oleh sebuah entiti yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kementerian.
"Sila berhati-hati dengan maklumat yang tidak disahkan yang berlegar dalam talian, kerana ia boleh menyebabkan kekeliruan dan salah maklumat dalam kalangan orang awam.
"Oleh itu, kementerian menggalakkan orang ramai untuk bergantung pada saluran rasmi KKM bagi mendapatkan maklumat sahih dan terkini mengenai perkara berkaitan kesihatan awam," katanyakatanya.
Pada Isnin, portal hiburan Koreaboo menerbitkan sebuah artikel mendakwa KKM mengecam lagu APT.
Artikel itu berulang kali mendakwa KKM menggambarkan lagu itu sebagai tidak bermoral dan berpotensi memudaratkan kepada pendengar muda kerana ia membayangkan tingkah laku rambang.
Portal Koreaboo dipercayai mengambil kenyataan berkenaan daripada halaman Facebook Public Health Malaysia yang sebenarnya bukan sebahagian daripada KKM.
Sebaliknya, ia adalah platform yang digunakan untuk menyebarkan maklumat dan kemas kini berkaitan kesihatan awam, memfokuskan pada perlindungan dan promosi kesihatan di Malaysia.