Translate

29 October 2024

Pegawai kanan syarikat penerbangan didakwa gagal lapor kes diberi suapan RM1,000



Pegawai kanan syarikat penerbangan didakwa gagal lapor kes diberi suapan RM1,000

Bernama

29/10/2024


Sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali. - Gambar hiasan


SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan pengurusan fasiliti sebuah syarikat penerbangan negara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan tidak melaporkan kes diberi suapan berjumlah RM1,000 tahun lalu.

Mohd Razif Hassan, 35, didakwa telah diberi suapan RM1,000 daripada seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun melalui pindahan wang secara dalam talian daripada akaun milik individu itu ke dalam akaun miliknya.

Ia sebagai balasan untuk mempercepatkan urusan syarikat kejuruteraan milik lelaki itu dengan tempat Mohd Razif bekerja yang mana tertuduh telah melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana gagal melaporkan penyogokan kepada pihak SPRM.

Mohd Razif dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah bank di Bandar Tun Hussein Onn, Hulu Langat dekat sini pada 9 Nov 2023 dan dia didakwa di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 serta boleh dihukum bawah Seksyen 25(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali.

Ketika prosiding, Pegawai Pendakwa Mohd Yasri Yahaya berkata pihaknya tidak membantah sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan ikat jamin kepada tertuduh.

"Untuk itu, saya mencadangkan kadar ikat jamin ditetapkan RM2,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi kes," katanya.

Bagaimanapun, peguam Shahidah Muslimah Roslan memohon kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung isteri dan dua anak berusia tujuh dan tiga tahun.

"Anak guam saya juga memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa sejak disiasat malah tidak membantah sekiranya dikenakan syarat tambahan," katanya.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin kemudiannya menetapkan jumlah ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin termasuk membenarkan semua syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaaan dan menetapkan 29 Nov depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED