Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak dilantik sebagai Yang di -Pertua Negeri Pulau Pinang ke-8 |
Tan Sri Ahmad Fuzi dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-8
Astro Awani
12/4/2021
GEORGE TOWN: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak dilantik sebagai Yang di -Pertua Negeri Pulau Pinang ke-8
Perlantikan itu dibuat bagi mengantikan Tun Dr Abdul Rahman Abbas yang tamat tempoh perkhidmatan selepas memegang jawatan itu selama 20 tahun.
Pengumuman pelantikan tersebut diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam sidang media di pejabatnya, di sini pada Isnin.
Kon Yeow berkata, pihaknya menerima warkah lantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 8 April lalu.
“Menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agong, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menguruskan segala upacara dan istiadat pelantikan berkaitan dengan sebaik mungkin serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) digariskan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini.
“Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga akan memastikan proses peralihan ini berjalan dengan lancar,” kata beliau.
Dalam masa sama, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menghargai segala jasa dan amanat Abdul Rahman sepanjang memegang jawatan Yang di-Pertua negeri ke- 7.
“Dengan ini, saya mewakili pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tun Abdul Rahman Abbas di atas jasa serta bakti beliau sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-7 selama 20 tahun.
“Malah, saya bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Undang-undang Negeri telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Abdul Rahman bagi memaklumkan akan warkah yang diterima pada tengah hari tadi,” kata beliau lagi.
Kon Yeow berkata majlis penyerahan watikah pelantikan Ahmad Fuzi sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-8 akan diadakan pada 30 April di Istana Negara.
Manakala Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertua Negeri akan berlangsung di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang, 1 Mei ini.
Ahmad Fuzi yang juga anak jati Pulau Pinang dilahirkan pada 8 Januari 1949.
FOR MORE NEWS GO TO: