Translate

29 April 2021

Gara-Gara Cemburu, 10 Remaja Ditahan Kerana Bergaduh (Video)

Cemburu kerana seorang perempuan dipercayai menjadi punca remaja lelaki berusia 14 tahun dipukul


Gara-gara cemburu, 10 remaja ditahan kerana bergaduh

Kelab Info Malaysia
28/4/2021

PASIR SALAK: Cemburu kerana seorang perempuan dipercayai menjadi punca remaja lelaki berusia 14 tahun dipukul dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah kedai kosong di Kampong Gajah di sini, minggu lalu.

Rakaman video pergaduhan berdurasi tujuh minit 39 saat itu tular dalam media sosial sejak semalam selepas ia dimuat naik di Instagram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, berdasarkan video itu, tujuh lelaki dilihat memukul mangsa yang mana seorang remaja perempuan turut berada di lokasi kejadian.

Katanya, pergaduhan yang dirakam seorang lagi lelaki itu bagaimanapun menunjukkan mangsa tidak membalas pukulan tersebut.

“Ekoran penularan video tersebut, 10 individu termasuk seorang remaja perempuan berusia antara 13 tahun hingga 18 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu ditahan semalam, bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati, kejadian itu berlaku pada pukul 1 petang, 20 April lalu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, tiada kesan kecederaan mahupun lebam pada tubuh mangsa dan remaja itu juga tidak mendapatkan rawatan di mana-mana pusat perubatan selepas kejadian.

Katanya, mangsa hanya mengalami kesakitan di bahagian perut akibat ditendang dan memberitahu tidak dipukul menggunakan apa-apa objek semasa kejadian.

“Berdasarkan siasatan, punca kejadian disebabkan mangsa membawa remaja perempuan itu yang merupakan teman wanita kepada seorang daripada suspek sehingga menimbulkan cemburu dan kemarahan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya merampas beberapa pakaian berdasarkan rakaman video dan telefon bimbit yang digunakan untuk merakam kejadian.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Source: Utusan Online

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED