Ayob Khan pamer kemahiran tebar roti canai |
Ayob Khan tunjuk skil tebar roti canai
Astro Awani
24/4/2021
KUALA LUMPUR: Di sebalik imejnya yang tidak asing lagi dengan ketegasan membanteras jenayah, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, menonjolkan sisi berlainan apabila mempamerkan kemahiran menebar roti canai pada program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ),di Johor Bahru, awal pagi tadi.
KUALA LUMPUR: Di sebalik imejnya yang tidak asing lagi dengan ketegasan membanteras jenayah, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, menonjolkan sisi berlainan apabila mempamerkan kemahiran menebar roti canai pada program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ),di Johor Bahru, awal pagi tadi.
Pada program itu, kemahiran Ayob dilihat masih tidak luntur ketika beliau tanpa rasa kekok menebar dua biji roti canai sambil bergurau mesra dengan pengamal media pada program santai berkenaan.
Kata Ayob, kemahiran menebar roti canai itu dimiliknya sejak kecil ketika membantu bapanya di sebuah kedai makan di Pendang, Kedah.
"Saya belajar tebar roti canai ini pada tahun 1978 waktu itu saya berumur 12 tahun, membantu orang tua saya di kedai makan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Satu rakaman video pendek berdurasi 64 saat memaparkan 'aksi' beliau menyediakan juadah kegemaran segenap lapisan rakyat Malaysia itu juga turut tersebar di media sosial.
Pada program itu, beliau menyambut kehadiran rombongan KMJ diketuai Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, yang turut diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang.
Ayob Khan berkata, penganjuran seumpama itu secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara kerajaan negeri, agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan industri media.
"Kerjasama sebegini dapat memantapkan lagi sebarang penyaluran maklumat, termasuk aktiviti yang berkaitan.
"Sumbangan media dari segi laporan berita yang dikongsikan berhubung kejayaan polis Johor, amat besar ertinya.
"Dalam kalangan kontinjen selain Bukit Aman, Johor ialah antara yang paling tinggi dari segi perkongsian media meliputi laporan kejayaan besar dicapai polis negeri ini.
"Ia adalah sumbangan media dalam membantu menaikkan imej PDRM di Johor," katanya kepada pemberita selepas program itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini.