Kereta Perodua 'Kancil lejen' yang tular di media sosial |
Membahayakan pengguna jalan raya, dua 'Kancil lejen' ditahan polis
Astro Awani
25/4/2021
KUALA LUMPUR: Kereta Perodua 'Kancil lejen' yang tular di media sosial kerana keadaan fizikal kereta itu yang agak membimbangkan akhirnya ditahan polis untuk pemeriksaan di Kepong, dekat sini, awal pagi ini.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya, pemandu Kancil itu merupakan seorang lelaki berusia 47 tahun, beralamat di Jalan Raub, Pahang.
"Bertindak ke atas video yang tular di media sosial berkaitan Kancil berwarna kuning yang tiada bumbung, polis menahan dan membuat pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut dan pemandunya.
"Pemeriksaan mendapati pemandu tidak mempunyai lesen memandu malah kereta tersebut tidak mempunyai cukai jalan, tiada bumbung dan tayar hadapan sebelah kanannya pecah.
"Pemandunya turut menunjukkan sebuah lagi kereta Kancil berwarna hijau yang tidak mempunyai nombor pendaftaran serta pecah cermin di bahagian pintu belakang sebelah kiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkefly berkata, kedua-dua kereta Kancil itu tidak layak berada di atas jalan raya dan boleh membahayakan pengguna yang lain.
"Kedua-dua kenderaan itu ditahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Baru-baru ini, tular di media sosial kenderaan tersebut dilihat berada di atas jalan sekitar Kepong.