Translate

30 April 2021

4 bazar Ramadan Di Johor Diarah Tutup Serta-Merta

Empat bazar Ramadan di negeri ini diarah tutup serta-merta

Empat bazar Ramadan di Johor diarah tutup serta-merta

BERNAMA
30/4/2021

JOHOR BAHRU, 30 April -- Empat bazar Ramadan di negeri ini diarah tutup serta-merta sebagai langkah berjaga-jaga selepas tapak perniagaan itu dikunjungi individu disyaki positif COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Ayub Jamil berkata penutupan berkenaan antaranya melibatkan bazar Ramadan Kampung Pasir, Jalan Mata Kuching dan bazar Ramadan @Mart Kempas di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Katanya dua lagi ialah bazar Ramadan Belatuk, Taman Scientex di kawasan Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan bazar Ramadan Lok Heng dalam kawasan Majlis Daerah Kota Tinggi.

“Tempoh penutupan semua bazar ini tertakluk kepada penilaian risiko yang dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri.

“Berdasarkan rekod dalam aplikasi MySejahtera, terdapat individu yang disyaki positif COVID-19 dikesan mengunjungi bazar berkenaan. Jadi langkah awal yang kami ambil ialah dengan menghentikan terus operasinya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tahun ini, sebanyak 193 bazar Ramadan dan Aidilfitri dibenarkan beroperasi di 16 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Johor membabitkan 9,609 petak jualan.

Di PERAK, Bazar Ramadan Nenas Kampung Selabak di Teluk Intan diarah tutup sementara mulai esok, bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata pihak Majlis Perbandaran Teluk Intan menerima surat arahan penutupan itu atas faktor keselamatan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pagi tadi.

“Surat tersebut telah mengarahkan Bazar Ramadan Nenas ditutup serta-merta dan arahan penutupan bazar itu adalah atas dasar keselamatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Bazar Ramadan yang difahamkan dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan akan ditutup sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Hari ini, tular surat arahan penutupan itu yang menunjukkan senarai Bazar Ramadan seluruh negara yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi termasuk Bazar Ramadan Nenas satu-satunya yang terlibat di Perak.

Hari ini, 118 kes baharu dilaporkan di Perak menjadikan kes keseluruhan sebanyak 14,749 berbanding 91 kes baharu semalam.

Di PULAU PINANG, enam bazar Ramadan di negeri ini hari ini telah diarahkan tutup berikutan terdapat jangkitan COVID-19 di kawasan bazar berkenaan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk Yew Tung Seang berkata empat bazar Ramadan di bahagian pulau negeri itu telah diarahkan tutup operasi selama tiga hari bermula 2 Mei ini.

"Bazar itu ialah bazar Ramadan Kampung Melayu, bazar di hadapan pasar Taman Tun Sardon, bazar di perkarangan parkir hadapan Masjid Daerah Barat Daya dan bazar di hadapan Kompleks Bukit Gedung," katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini hari ini.

Sementara itu di Seberang Perai, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Rozali Mohamud berkata dua bazar di kawasan itu diarahkan tutup iaitu bazar Ramadan Attakwa di Taman Bertam Indah dan bazar Ramadan MPKK Jalan Tenggiri.

“Hasil mesyuarat pasukan tindakan pengurusan krisis COVID-19 telah memutuskan bahawa MBSP boleh memberi kebenaran kepada penganjur untuk beroperasi di tempat baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Selain SOP penyediaan kod QR MySejahtera, pemeriksaan suhu, penyediaan cecair sanitasi tangan, penganjur bazar Ramadan perlu memastikan hanya seorang daripada setiap keluarga dibenarkan masuk ke kawasan bazar dan penganjur harus melantik petugas tambahan untuk memastikan pengunjung tidak bersesak di meja jualan," katanya.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED