Translate

30 April 2021

KPN Kritik Campur Tangan Menteri Dalam PDRM



Tan Sri Abdul Hamid Bador.



KPN kritik campur tangan menteri dalam PDRM


Astro Awani
30/4/2021

KUALA LUMPUR: Jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) perlu diterajui oleh golongan profesional dan bukannya ahli politik, tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Dalam sidang media hari-hari terakhirnya memegang jawatan tersebut, Abdul Hamid berkata, orang politik cenderung untuk menggunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi kepentingan politik dan perkara itu perlu dihentikan.

Malah, beliau mengakui tidak senang dengan tindakan campur tangan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudi menyebabkan beliau mempunyai hubungan yang tidak baik dengannya.

"Ini yang patut dihindarkan (campur tangan), tidak boleh seseorang menteri campur urusan kawal selia PDRM.

"Beliau (Hamzah Zainuddin) hanya dberikan kuasa untuk tetapkan dasar... apakah hala tuju pasukan, adakah pasukan ini pincang ataupun pasukan ini ada masalah.

"Itu peranan dan tanggugjawab beliau (sebagai Pengerusi SPP), bukannya tentukan siapa CPO (Ketua Polis Negeri) siapa pengarah, peranan beliau sebagai Pengerusi SPP ada hadnya," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Kata beliau, tindakan ahli politik yang dilihat cuba menguasai SPP dan PDRM akan menyukarkan tugas Ketua Polis Negara dalam mengawal selia PDRM.

Abdul Hamid mendedahkan mengenai campur tangan itu beberapa jam selepas Hamzah mengakui, rakaman audio perbualan mengenai kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam PDRM yang tular sejak beberapa hari lalu merupakan suara beliau.

Jelasnya, beliau sudah dua kali membangkitkan isu campur tangan Hamzah dalam urusan pasukan polis kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut menyuarakannya kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Katanya, beliau bukan 'gila kuasa' mahu menentukan segala-galanya, namun sebagai ketua pasukan polis beliau akui lebih arif tentang hal ehwal dan urusan PDRM.

“Saya bergelumang setiap hari dengan pasukan saya. Menteri ada banyak jabatan dan agensi di bawah kementeriannya,” tambahnya.

Abdul Hamid turut mencadangkan agar pada masa akan datang, SPP diterajui secara bebas, misalnya oleh bekas hakim atau ketua hakim negara.

Katanya, cadangan itu pernah disuarakan oleh bekas ketua pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed semasa pentadbiran Pakatan Harapan.





Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED