Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai mendera dua anaknya |
Kes pijak, ugut bunuh anak: Polis tangkap bapa, selamatkan 2 kanak-kanak
Astro Awani
15/4/2021
TAWAU: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai mendera dua anaknya dengan memijak sambil mengacukan pisau dan mengugut untuk membunuh mereka dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Andun, Jalan Kabogan, Semporna, pada Khamis.
Pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dengan bantuan BSJ Semporna itu, turut berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun terbabit dalam operasi jam 7 pagi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata pihaknya berjaya mengenal pasti lokasi rumah terbabit dengan kerjasama isteri suspek yang berusia 19 tahun.
"Suspek adalah warga Indonesia berumur dalam lingkungan 20-an. Suspek dan dua kanak-kanak itu berada di rumah ibu bapanya ketika ditahan.
"Kedua-dua kanak-kanak itu didapati selamat dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan lanjut.
"Kita turut merampas sebuah telefon bimbit dan parang atau pisau yang dipercayai digunakan ataupun kelihatan dalam video yang tular tersebut," katanya pada sidang media di Balai Polis Tawau di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, rakaman perbuatan seorang lelaki mendera dua anaknya yang masih kecil dengan memijak sambil mengacukan pisau dan mengugut untuk membunuh mereka menjadi tular sejak Selasa.
Berdasarkan video dan gambar yang dimuat naik di laman Facebook OrangKunak, kedua-dua kanak-kanak itu dilihat menangis kesakitan dan ketakutan, malah suspek dipercayai turut merakam perbuatannya itu sendiri.
Mengulas lanjut, Peter berkata, polis percaya suspek yang mengalami masalah rumah tangga bertindak mendera serta mengugut untuk membunuh anaknya bagi memaksa isterinya kembali kepadanya.
Katanya, suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
FOR MORE NEWS GO TO:
Polis Buru Lelaki Pijak, Acu Pisau, Ugut Bunuh Dua Anak
Polis Buru Lelaki Pijak, Acu Pisau, Ugut Bunuh Dua Anak