Astro Awani
23 Ogos 2020
TANJUNG MALIM: Perikatan Nasional dijangka disertai oleh lima parti termasuk daripada komponen Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurut Ketua Penerangan Perikatan Nasional itu, pihaknya mengambil sikap terbuka dan anggota parti telah bersetuju secara rasmi menyertai perikatan itu.
Katanya, setakat ini lima parti telah membuat pendaftaran dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menubuhkan Perikatan Nasional.
"Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan mengumumkan dalam masa terdekat tentang status permohonan Perikatan Nasional kepada ROS dan kepada anggota parti yang lain.
"Kita terbuka, kerana matlamat kita adalah satu, iaitu untuk memastikan kerajaan Perikatan Nasional ini, kerajaan yang stabil.
"Ini kerana, dengan kestabilan kita boleh menjamin keutuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Itu adalah matlamat dan prinsip yang kita pegang hari ini," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika meninjau Pusat Media sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Ditanya berhubung lima parti berkenaan, Mohamed Azmin bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sambil memaklumkan ia termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Ada (tetapi bukan BN) secara keseluruhan. Ia bukan atas nama gabungan, ia mewakili parti berkenaan. Jumlah dalam pendaftaran Perikatan Nasional adalah lima," katanya.
Dalam perkembangan lain, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual mengadakan ceramah bersama Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di sini, malam ini.
Ia dijangka akan memperincikan mengenai pendaftaran Perikatan Nasional.
Rabu lalu, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan sudah mengesahkan bahawa parti itu bersama Bersatu dalam proses menubuhkan Perikatan Nasional.