Translate

25 August 2020

COVID-19 MALAYSIA: New Cases-11 (Imported -2, Local-9 ), Active Cases-189, Total Cases-9285 | Total Deaths- 125



Terkini #COVID19Malaysia 25 Ogos Kes sembuh= 6 Jumlah kes sembuh= 8,971 Kes positif= 11 (kes import=2, kes tempatan=9) Jumlah positif= 9,285 Kes kematian=0 Jumlah kes kematian= 125 Kes dirawat di ICU= 8 Bantuan Alat Pernafasan= 6


Kenyataan Akhbar KPK 25 Ogos 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat enam (6) kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,971 kes (96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 25 Ogos 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 11 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,285 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 189 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 11 kes baharu yang dilaporkan, dua (2) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan satu (1) warganegara Malaysia dan satu (1) bukan warganegara. Dua (2) kes import tersebut adalah dari negara:

  1. Filipina (1 kes di Selangor); dan
  2. Indonesia (1 kes di Selangor).

Kesemua sembilan (9) kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia. Perincian kes adalah seperti berikut:

  • Kedah – tujuh (7) kes:
    • Lima (5) kes daripada Kluster Tawar. Kluster ini akan diperincikan di bawah;
    • Satu (1) kes saringan pra pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah;
    • Satu (1) kes saringan bergejala.
  • Selangor: satu (1) kes dalam siasatan. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh; dan
  • Perlis:  satu (1) kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Tuanku Fauziah.

Sehingga kini, terdapat lapan (8) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana enam (6) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

KLUSTER TAWAR MELAPORKAN LIMA (5) KES BAHARU

KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat lima (5) kes baharu yang dilaporkan bagi Kluster Tawar pada hari ini, menjadikan jumlah kes dalam kluster ini 70 kes setakat ini. Kelima-lima kes baharu ini melibatkan pelajar-pelajar sebuah sekolah rendah di negeri Kedah. Mereka telah dikenalpasti melalui pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat kes-kes positif kluster ini. Hasil siasatan mendapati mereka adalah kontak rapat kepada kes ke-9197 yang merupakan seorang pelajar prasekolah (kes ini telah dilaporkan pada 16 Ogos 2020).

Sehingga 25 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 3,547 orang telah disaring dalam kluster ini. Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit adalah seperti berikut:

  1. Kedah (3,018 disaring):
    • 59 kes dikesan positif COVID-19;
    • 2,717 individu negatif; dan
    • 242 individu masih menunggu keputusan.
  2. Pulau Pinang (518 disaring):
    • 11 kes dikesan positif COVID-19; dan
    • 507 individu negatif.
  3. Perak: Kekal 11 saringan, di mana semua adalah negatif. Tiada saringan baharu.

Saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan akan diteruskan. Situasi semasa kluster ini dan lain-lain kluster akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

KKM ingin mengingatkan semua pihak sekolah supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majilis Keselamatan Negara (MKN) termasuk SOP sebelum, semasa dan selepas sesi persekolahan. Ibubapa juga perlu memainkan peranan menasihati dan mendidik anak-anak mereka yang masih bersekolah tentang amalan-amalan yang perlu dipraktikkan bagi mencegah jangkitan COVID-19 di dalam bas sekolah, bilik darjah dan semasa sebarang aktiviti sukan atau kurikulum.

ANCAMAN GELOMBANG BAHARU COVID-19 DI LUAR NEGARA DAN RISIKONYA KEPADA NEGARA KITA

KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan belakang tabir, serta rakyat Malaysia yang telah sama-sama berusaha keras bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia. Bagi memastikan tiada penularan jangkitan, pematuhan kepada undang-undang dan SOP yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan amatlah penting.

Jika dibandingkan dengan situasi di beberapa negara luar, terdapat negara yang kini menghadapi ancaman gelombang baharu penularan COVID-19. Perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia jika kita leka dan memandang remeh situasi di Malaysia.

Kawalan sempadan perlu terus dipertingkatkan dengan kerjasama pelbagai agensi bagi mengekang aliran kemasukan individu yang berpotensi dijangkiti COVID-19 ke dalam negara. Daripada 3 April 2020 sehingga 23 Ogos 2020, seramai 104,188 rakyat dan pemastautin tetap telah disaring, di mana 103,289 telah dikuarantinkan samada di rumah atau pusat kuarantin. Kes positif COVID-19 yang dikesan pula adalah sebanyak 899 kes di mana mereka telah diasingkan dan dirawat di hospital. Sekiranya terdapat kelemahan, sistem ini akan ditambahbaik dari semasa ke semasa.

KKM ingin mengingatkan semua petugas barisan hadapan untuk terus patuh kepada rangka kerja, panduan amalan dan tatacara pengurusan kes di lapangan. Sekiranya menghadapi sebarang cabaran, kerumitan, mahupun halangan dalam menjalankan tugas, pihak atasan perlu dimaklumkan segera agar ianya dapat dirungkai dan diselesaikan. Ini adalah penting untuk memastikan undang-undang serta SOP dipatuhi, dan petugas barisan hadapan adalah terlindung daripada jangkitan penyakit serta sebarang cabaran dalam melaksanakan tugasan di lapangan.

Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah amat penting untuk digunakan bagi memutuskan penularan COVID-19. Ketidakpatuhan terhadap Akta ini akan meningkatkan risiko kebolehjangkitan dan penularan penyakit. Sekali lagi diingatkan kepada 1) semua petugas untuk patuh kepada panduan amalan dalam pelaksanaan tugasan; dan 2) orang ramai untuk terus patuh kepada peraturan serta SOP yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Masyarakat memainkan peranan yang amat penting dengan mematuhi sepenuhnya Akta ini dan segala SOP yang ditetapkan, tidak kira siapa dan di mana sekali pun.

Hanya dengan kepatuhan seratus peratus terhadap Akta ini, kita dapat bersatu dalam peperangan terhadap musuh kita yang sama ini, iaitu COVID-19.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM berharap orang ramai agar kekal waspada dan terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:

  • Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
  • Elakkan bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:

  • S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P : Penjarakan fizikal (physical distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

25 Ogos 2020 @ 5.00 petang.

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 25 OGOS 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS132
KEDAH7207
PULAU PINANG0136
PERAK0269
SELANGOR3 (2)2,158
NEGERI SEMBILAN01,034
MELAKA0259
JOHOR0751
PAHANG0370
TERENGGANU0114
KELANTAN0160
SABAH0417
SARAWAK0696
W.P. KUALA LUMPUR02,560
W.P. PUTRAJAYA099
W.P. LABUAN023
JUMLAH KESELURUHAN11 (2)9,285

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import


PERINCIAN KES BAHARU (11) SELANGOR - 3 1 kes import WN pulang dari Filipina 1 kes import BWN pulang dari Indonesia 1 kes WN saringan bersasar KEDAH - 7 5 kes WN kluster Tawar 1 kes WN saringan pra pembedahan 1 kes WN saringan bergejala PERLIS - 1 1 kes WN SARI


Image


Image


Image

Image


Image

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED