BERNAMA
26/08/2020 03:54 PM
KUALA LUMPUR, 26 Ogos -- Seramai 81 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 59 individu telah dikompaun manakala 22 individu pula direman dengan kesalahan yang paling banyak dikesan ialah gagal menyediakan peralatan dan catatan keluar masuk pelanggan serta tidak memakai pelitup muka.
"Sebanyak 68,310 pemeriksaan juga dilakukan bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP. Ia melibatkan 4,881 pasukan pematuhan dengan 16,827 anggota pemantau yang memeriksa pasar raya, restoran, penjaja, serta terminal pengangkutan darat, air dan udara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pada masa sama seramai empat orang pendatang tanpa izin ditahan dalam Operasi Benteng yang dilakukan bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.
Dalam tempoh itu 62 sekatan jalan raya Operasi Benteng dilakukan di seluruh negara dan 28,481 kenderaan telah diperiksa.
Sementara itu sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 17,037 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 65 hotel serta lima institut latihan awam (ILA).
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 7,419 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 56 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.
“Seramai 9,562 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang. Kesemua mereka pulang dari 32 negara termasuk Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan dan Arab Saudi,” katanya.
Selain itu Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengadakan 298 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan kesemua individu terlibat didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.
-- BERNAMA