Translate

31 August 2020

COVID-19 MALAYSIA: New Cases-6 (Imported -4, Local-2) New Death-1 , Active Cases-159 | Total Cases-9340 | Total Deaths- 127


Kenyataan Akhbar KPK 31 Ogos 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat enam (6) kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,054 kes (96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 31 Ogos 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat enam (6) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,340 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 159 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada enam (6) kes baharu yang dilaporkan, empat (4) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan negara Singapura iaitu dua (2) warganegara Malaysia dan dua (2) bukan warganegara. Empat (4) kes import ini telah dilaporkan di negeri Selangor.

Dua (2) kes penularan di dalam negara adalah di kalangan warganegara Malaysia dari negeri Kedah iaitu satu (1) kes daripada Kluster Tawar dan satu (1) kes daripada Kluster Telaga.

Sehingga kini, terdapat enam (6) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat (4) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 127 kes (1.36 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

  • Kes kematian ke-127 (kes ke-9124) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau merupakan salah satu kes positif yang telah dilaporkan pada 13 Ogos 2020 dalam Kluster Tawar. Beliau mula mengalami gejala batuk sejak 11 Ogos 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 13 Ogos 2020 setelah didapati positif COVID-19. Keadaan kesihatan beliau merosot dan memerlukan bantuan pernafasan sejak 19 Ogos 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 30 Ogos 2020 jam 10.35 malam.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau.

KLUSTER BUNGA

KKM ingin memaklumkan bahawa satu kluster baharu yang terpencil (isolated) telah dikenalpasti melibatkan kakitangan yang bertugas dalam sebuah kapal di Pelabuhan Port Dickson, Negeri Sembilan. Kapal yang terlibat ini mempunyai sejarah perjalanan dari Pelabuhan Singapura. Seramai 34 orang krew kapal yang bertugas dalam kapal ini telah disaring pada 28 Ogos 2020 bagi tujuan sign-in dan sign-off kapal. Daripada jumlah ini:

  • Empat (4) kes dikesan positif COVID-19;
  • Enam (6) individu adalah negatif; dan
  • 24 individu masih menunggu keputusan.

Kes positif COVID-19 kluster ini melibatkan dua orang warganegara Malaysia dan dua (2) orang bukan warganegara. Keempat-empat kes positif ini tidak bergejala dan pada awalnya dikuarantin di sebuah hotel di Selangor. Setelah dikesan positif, mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor. Justeru, tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil (isolated) di sebuah kapal.

Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di kapal tersebut. Punca jangkitan masih dalam siasatan.

STATUS TERKINI KLUSTER TAWAR DAN KLUSTER TELAGA

KKM ingin memaklumkan pertambahan kes dalam Kluster Tawar dan Kluster Telaga. Pertambahan kes kedua-dua kluster ini melibatkan negeri Kedah.

  1. Kluster Tawar

Terdapat satu (1) kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar di negeri Kedah, justeru menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini sebanyak 74 kes. Sehingga 31 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 16,462 orang telah disaring dalam kluster ini. Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit adalah seperti berikut:

  1. Kedah (15,917 disaring):
    • 63 kes dikesan positif COVID-19;
    • 12, 597 individu negatif; dan
    • 3,257 individu masih menunggu keputusan.
  2. Pulau Pinang (534 disaring):
    • 11 kes dikesan positif COVID-19; dan
    • 523 individu negatif.
  3. Perak: Kekal 11 saringan, di mana semua adalah negatif. Tiada saringan baharu.

Daripada jumlah saringan di negeri Kedah (iaitu 15,917 orang), 12,553 orang adalah dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran yang membabitkan tiga (3) zon iaitu Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melur di Amanjaya. Setakat ini tiada kes baharu dilaporkan dalam zon-zon tersebut. Sebanyak 8,084 dilaporkan negatif COVID-19 dan 4,469 masih menunggu keputusan ujian makmal.

  • Kluster Telaga

Terdapat satu (1) kes baharu (kes ke-9340) dilaporkan bagi Kluster Telaga di negeri Kedah. Kluster ini mula dilaporkan pada 30 Ogos 2020 dengan dua (2) kes positif melibatkan kakitangan hospital (kes ke-9284 iaitu kes indeks dan kes ke-9334). Namun hasil siasatan lanjut mendapati terdapat dua (2) lagi kes positif COVID-19 yang telah dilaporkan sebelum ini (kes ke-9306 dan kes ke-9291) didapati juga merupakan kontak rapat kepada kes indeks. Ini menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini sebanyak lima (5) kes. Sehingga 31 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 735 orang telah disaring dalam kluster ini. Daripada jumlah ini:

  • Lima (5) kes dikesan positif COVID-19; dan
  • 730 individu negatif.

Pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kedua-dua kluster ini.

.SELAMAT MENYAMBUT HARI KEBANGSAAN KE-63

Pihak KKM dengan besar hatinya mengucapkan Hari Kebangsaan Ke-63 kepada semua warga Malaysia. Sempena hari yang bersejarah ini juga, KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pejuang barisan hadapan dan petugas balik tabir yang telah bertungkus lumus berjuang menentang musuh Negara yang kini sedang mengancam dunia, iaitu COVID-19. Semoga kita terus cekal dan bersatu hati, berganding bahu bagi berjuang membebaskan Malaysia daripada sebarang ancaman virus ini dan segala jenis ancaman yang lain. Bersama-samalah kita menjaga ibu pertiwi kita ini.

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!”

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM berharap orang ramai agar kekal waspada dan terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:

  • Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
  • Elakkan bersalaman / bersentuhan;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:

  • S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P : Penjarakan fizikal (physical distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

31 Ogos 2020 @ 5.00 petang.

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 31 OGOS 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERIBILANGAN KES BAHARU *(    )BILANGAN KES KUMULATIF
PERLIS032
KEDAH2216
PULAU PINANG0136
PERAK0269
SELANGOR4 (4)2,171
NEGERI SEMBILAN01,034
MELAKA0262
JOHOR0751
PAHANG0370
TERENGGANU0114
KELANTAN0160
SABAH0417
SARAWAK0699
W.P. KUALA LUMPUR02,587
W.P. PUTRAJAYA099
W.P. LABUAN023
JUMLAH KESELURUHAN6 (4)9,340

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import

1 kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 127 kes.

Kes ke-9124, seorang lelaki berusia 62 tahun dan dari Kluster Tawar.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau.Image

Kluster Bunga 1 kluster baharu dikesan pada hari ini, Kluster Bunga. Sehingga kini, terdapat 4 kes positif dilaporkan melibatkan 2 WN dan 2 BWN. Rujuk kenyataan akhbar bagi laporan penuh kluster ini.

Image

Kluster Telaga 1 kes baharu (kes ke-9340) dikesan dari Kluster Telaga pada hari ini. Untuk makluman, 2 kes yang dilaporkan sebelum ini telahpun dikenalpasti sebagai kontak rapat kepada kes indeks kluster ini. Oleh itu, Kluster Telaga kini mencatatkan 5 kes positif.

Image

Kluster Tawar 1 kes baharu dikesan dari kluster ini. Kes merupakan kes ke-24 dari generasi kedua. Sehingga kini, 16,462 individu telah disaring dan hasil saringan mendapati 74 dikesan positif Covid-19.

Image


PERINCIAN KES BAHARU (6) SELANGOR-4 2 kes import WN tiba dari Singapura 2 kes import BWN tiba dari Singapura (kesemua kes adalah dari kluster baharu; Kluster Bunga) KEDAH-2 1 kes WN Kluster Tawar 1 kes WN Kluster Telaga

Image

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED