Translate

01 April 2025

Kebakaran paip gas: 190 rumah rosak, Ahmad Zahid harap bantuan segera disalurkan



Kebakaran paip gas: 190 rumah rosak, Ahmad Zahid harap bantuan segera disalurkan

Bernama

01/04/2025


Kebakaran saluran paip gas di Putra Heights mengakibatkan 190 rumah, 148 kereta, dan 11 motosikal rosak. -Gambar fail/Bernama


KUALA LUMPUR: Hari kedua sambutan perayaan Aidilfitri dikejutkan dengan insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya yang mengakibatkan 190 rumah rosak setakat 3.40 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Wan Razali Wan Ismail berkata tragedi itu turut menyebabkan 148 kereta dan 11 motosikal rosak.

"Rumah dan kenderaan terbabit dikenal pasti mengalami pelbagai kerosakan akibat kebakaran serta haba panas," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan secara menyeluruh sedang dijalankan.

Insiden itu turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan agensi berkaitan yang sedang berusaha sedaya upaya mengawal kebakaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu turut mendoakan keselamatan semua petugas yang bertungkus lumus dalam operasi menangani kebakaran tersebut serta kesejahteraan penduduk terjejas akibat insiden berkenaan.

"Semoga segala urusan dipermudah, segala risiko dapat dikawal dan bantuan yang diperlukan dapat segera disalurkan kepada semua yang terlibat.

"Kita doakan semuanya berada dalam lindungan Allah SWT, khususnya buat yang terkesan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tiba di Hospital Sultan Idris Shah pada 3.30 petang untuk melawat mangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar turut turun padang menyantuni mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.

Difahamkan seramai 149 mangsa daripada 24 keluarga ditempatkan di pusat berkenaan.

Insiden itu turut menyebabkan 'hujan pasir dan debu' bukan sahaja di sekitar lokasi kejadian malah menjangkau jarak beberapa kilometer dari kawasan kebakaran.

Pekerja swasta Nor Azian Jamil, 51, yang tinggal di Kampung Seri Aman, Puchong berkata walaupun rumahnya terletak kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian, dia turut merasai kesan kebakaran itu apabila halaman rumah dan kenderaan turut 'dilitupi' pasir tanah merah serta kerikil halus.

Sementara itu, operasi penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang berjalan seperti biasa setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata pihaknya telah mengambil tindakan menyelaras semula landasan pelepasan dan pendaratan pesawat sebagai langkah berjaga-jaga.

"Bagi pendaratan pesawat, kita arahkan agar menggunakan Landasan 15 manakala pelepasan dari Landasan 33 dan ini bermakna penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah akan menghala ke utara manakala pendaratan juga dari arah utara," katanya.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pula membuka semula laluan di antara Seafield hingga ke Bandar Saujana Putra di Lebuhraya ELITE yang ditutup pagi tadi berikutan insiden itu.

Kenyataan PLUS memaklumkan laluan berkenaan dibuka pada 1.51 tengah hari.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Boardman viewed 'The ringgit started trading on Wednesday almost fl' 1 min ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Wanita menari separuh bogel cemar imej Batu Fering' 11 mins ago
A visitor from Bandar puncak alam viewed 'Sin Chew Daily today apologised for the mistake of' 32 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Sin Chew Daily today apologised for the mistake of' 46 mins ago
A visitor from Petaling jaya viewed 'Wanita menari separuh bogel cemar imej Batu Fering' 48 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Sin Chew Daily today apologised for the mistake of' 48 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Wanita menari separuh bogel cemar imej Batu Fering' 49 mins ago
A visitor from Batu caves viewed 'PASAR CHOW KIT DIGEMPUR IMIGRESEN - WARGA ASING BE' 49 mins ago
A visitor from Pulau pinang viewed 'Wanita menari separuh bogel cemar imej Batu Fering' 1 hr 1 min ago
A visitor from Janakpur viewed 'Trump's Gaza plan for 'Riviera of the Middle East'' 1 hr 5 mins ago