Lelaki bebas sabitan edar 10kg dadah - Mahkamah Persekutuan
Bernama
15/04/2025
Lelaki bebas sabitan edar 10kg dadah - Mahkamah Persekutuan
Panel tiga hakim benarkan rayuan akhir Mohd Khairul Azwan Zakaria, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta sebatan yang dikenakan terhadapnya. - Gambar hiasan/Adobe Stock
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas operator eskalator daripada tuduhan mengedar hampir 10 kilogram (kg) dadah yang ditemui dalam sebuah kereta pada 2019.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan akhir Mohd Khairul Azwan Zakaria, 38, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta sebatan yang dikenakan terhadapnya.
"Kami mendapati terdapat merit dalam rayuan ini. Sabitan dan hukuman adalah dibatalkan. Perayu dilepas dan dibebaskan," kata Tengku Maimun.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah.
Pada 20 Jun 2019, Mohd Khairul bersama seorang lagi tertuduh, Bhahira Fakri, 44, yang bekerja sebagai penarik kereta, didakwa mengedar 9.6kg heroin dan 115.5 gram Monoasetilmorfin yang ditemui dalam kereta jenis Honda Accord yang diparkir di hadapan sebuah restoran di Publika, Jalan Dutamas 1, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.
Kedua-dua mereka disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada Februari 2023 dan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun serta 15 sebatan.
Sabitan tersebut kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan. Namun, hanya Mohd Khairul yang mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan, manakala Bhahira tidak berbuat demikian.
Dalam prosiding hari ini, peguam bela Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Mohd Khairul berhujah bahawa pihak pendakwaan gagal mengemukakan pemilik kenderaan terbabit sebagai saksi, iaitu adik ipar anak guamnya.
Beliau berkata kegagalan tersebut serta kegagalan menyerahkan kenyataan saksi kepada pihak pembelaan menyebabkan berlaku prejudis terhadap pembelaan anak guamnya.
Hisyam yang dibantu oleh peguam Low Wei Loke turut memaklumkan anak guamnya terpaksa menutup kes pembelaan tanpa keterangan penting daripada saksi tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz memohon agar sabitan terhadap tertuduh dikekalkan dengan alasan kegagalan memanggil saksi berkenaan tidak menjejaskan keseluruhan kes pendakwaan.
Namun demikian, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan rayuan dan membebaskan Mohd Khairul daripada tuduhan tersebut.
- BERNAMA