Polis tahan lelaki larikan kereta bersama kanak-kanak istimewa
Bernama
31/03/2025

Polis menahan seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak lelaki istimewa berusia lima tahun di Masjid Kampung Banggol, Pokok Sena. -Gambar fail
GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak lelaki istimewa berusia lima tahun dalam satu kejadian di Masjid Kampung Banggol, Pokok Sena, Tasek Gelugor, malam tadi.
Polis menahan seorang lelaki yang melarikan sebuah kereta bersama seorang kanak-kanak lelaki istimewa berusia lima tahun di Masjid Kampung Banggol, Pokok Sena.
Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun dengan rekod jenayah lampau, kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Pulau Pinang menasihati orang ramai supaya tidak meninggalkan anak kecil di dalam kenderaan tanpa pengawasan, terutama apabila enjin masih hidup.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata dala m kejadian sekitar 8 malam, pengadu yang juga bapa kepada kanak-kanak tersebut telah meninggalkan kenderaan jenis Honda BR-V dalam keadaan enjin masih hidup di kawasan parkir masjid berkenaan bagi memujuk anak perempuannya yang berusia setahun.
Beliau berkata seorang individu yang tidak dikenali mengambil kesempatan melarikan kenderaan tersebut bersama kanak-kanak itu dan bapanya berusia 41 tahun cuba mengejar tetapi gagal.
"Apabila diminta membuka pintu, suspek enggan dan cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan sehingga melanggar kenderaan polis yang berada di belakangnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata susulan itu, polis terpaksa memecahkan tingkap kenderaan dan suspek cuba melawan semasa tangkapan dilakukan. Bagaimanapun, polis berjaya menahannya serta menyelamatkan kanak-kanak tersebut tanpa sebarang kecederaan.
"Hasil siasatan mendapati suspek, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun, mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan 10 kes berkaitan dadah, termasuk dua kes dikehendaki serta lima kes jenayah lain," katanya.
Suspek kini direman selama empat hari sehingga 3 April untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Hamzah menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak meninggalkan anak kecil di dalam kenderaan tanpa pengawasan, khususnya apabila enjin masih hidup.
-- BERNAMA