Hospital Pasir Gudang hampir siap, dijangka beroperasi dalam masa terdekat
Bernama
22/03/2025

Pembinaan Hospital Pasir Gudang yang menelan kos melebihi RM380 juta kini hampir siap dan dijangka beroperasi dalam masa terdekat.
JOHOR BAHRU: Pembinaan Hospital Pasir Gudang yang menelan kos melebihi RM380 juta kini hampir siap dan dijangka beroperasi dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, ketika ini, kerja-kerja pembinaan fizikal telah siap sepenuhnya namun masih terdapat beberapa peralatan perubatan dan pelbagai sistem yang sedang dipasang.
"Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan menjalankan ujian ke atas semua sistem dalam tempoh terdekat, bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.
"Seterusnya, pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan pemeriksaan terperinci bagi memastikan semua aspek pembinaan dan kelengkapan memenuhi piawaian teknikal, kejuruteraan serta perubatan yang ditetapkan," katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Terdahulu, Ling mengiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang melawat ke Hospital Pasir Gudang, bagi meninjau perkembangan projek dan mendengar taklimat kemajuan pembinaan hospital tersebut.
Ling dalam pada itu turut berkata, KKM juga telah memberi peruntukan tambahan RM81 juta bagi pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan untuk hospital tersebut.
"Pasukan ini menjangkakan semua pemasangan dan ujian sistem akan siap pada 12 Jun ini dan seterusnya hospital tersebut akan diserahkan sepenuhnya kepada KKM untuk beroperasi secepat mungkin.
"Setakat ini, lebih 1,845 jawatan telah diluluskan untuk Hospital Pasir Gudang dan pihak berkuasa sedang mengatur serta menempatkan kakitangan yang diperlukan. Hospital ini akan beroperasi secara berfasa mengikut keperluan dan kesiap siagaan fasiliti yang ada," katanya.
Hospital Pasir Gudang telah memulakan pembinaannya secara rasmi sejak tahun 2020 dan walaupun berdepan cabaran akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Hospital itu dilengkapi dengan 14 jabatan perubatan pakar dengan kapasiti 304 katil, dilengkapi dengan persekitaran moden dan peralatan canggih bagi menjamin perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada pesakit.
-- BERNAMA